Kabinet berintegriti, berhemat – Pas

0
252

Abdul Hadi Awang

CYBERJAYA – Pas menyifatkan pembentukan Kabinet baharu kerajaan dilakukan secara berhemat dengan mengambil kira aspek integriti dan kelayakan, serta keseimbangan di antara wilayah serta masyarakat majmuk.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti itu menyambut baik barisan menteri Kabinet yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Pas mendokong sepenuhnya kepemimpinan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri yang baharu diumumkan demi kebaikan negara dan rakyat demi memastikan mutu perkhidmatan yang baik oleh pihak kerajaan.

“Pas turut berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada kami dan akan berusaha untuk menunaikan kewajipan ini dengan pertolongan Allah, serta mengharapkan kerjasama daripada penjawat awam dan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hadi berkata, Pas berikrar untuk melaksanakan tanggungjawab yang dipertanggungjawabkan kepada ahli-ahli Parlimennya sebaik mungkin dan sedia menerima pandangan positif daripada semua pihak khususnya dalam kalangan ahli akademik, profesional dan tokoh masyarakat.

“Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi dipercayai,” katanya yang memetik firman Allah di dalam Surah Al-Qasas, ayat 26.

Pengumuman Kabinet baharu kerajaan Persekutuan kali ini melakar sejarah baharu bagi Pas apabila barisan menteri kembali dianggotai pemimpin Pas selepas pembabitan parti itu dalam kerajaan campuran pada 1973 hingga 1974 dan 1977.

Tiga pemimpin Pas dilantik sebagai menteri penuh adalah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Menteri Alam Sekitar); Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan (Menteri di Jabatan Perdana Menteri -Parlimen dan Undang-undang); Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Khairuddin Aman Razali (Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi).

Sementara itu, lima lagi wakil parti berkenaan turut dilantik sebagai Timbalan Menteri. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here