KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin memaklumkan barisan Kabinet Perikatan Nasional (PN) dijangka diumum Selasa depan.
Memetik laporan Berita Harian, sejak mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan sudah mengadakan pertemuan dengan parti komponen Perikatan Nasional (PN) untuk membentuk barisan Kabinet baharu.
Gabungan Perikatan Nasional merangkumi sebahagian Ahli Parlimen BERSATU, Barisan Nasional (BN) dan Pas serta disokong Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Semalam, GPS mengumumkan bersetuju untuk menyertai Kabinet Kerajaan Persekutuan yang akan dibentuk Muhyiddin.
Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, bagaimanapun berkata, pihaknya mahu Kerajaan Persekutuan harus dikenali dengan nama Perikatan Nasional Plus GPS (PN+GPS).
Beliau yang juga Ketua Menteri berkata, ini kerana katanya, GPS adalah entiti yang berasingan dengan PN.