“Kalau bukan umat Islam sokong Malakat Mall, siapa lagi’ – Zainul Rijal

0
13465
Datuk Zainul Rijal

Oleh Nina Farzuin Md Sharom

RAUDHAH CITY – Umat Islam diseru agar memberikan sokongan kepada perjuangan Malakat Mall dalam membangunkan ekonomi Muslim di negara ini.

Timbalan Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, usaha yang dilakukan dalam mewujudkan pasaraya Muslim pertama itu adalah satu inisiatif yang hebat yang memerlukan sokongan orang ramai yang lebih konsisten.

“Insya-Allah dengan kerja keras yang ada, kita akan dapat bersama-sama membantu ekonomi Islam supaya kita tidak lagi dihina sebagaimana yang kita lalui sebelum ini.

“Kalau bukan orang Islam sendiri yang memberi sokongan terhadap perjuangan ini, siapa lagi,” katanya ketika berucap dalam Majlis Prapembukaan Malakat Mall di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, Zainul antara individu yang menerima pelantikan sebagai Penasihat Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) selain dua nama lain iaitu Mahmud Hishamuddin Abdul Rashid dan Masridzi Sat.

Pada masa sama, beliau turut berkongsi sepotong ayat al-Quran dalam surah al-Faatir ayat 29 yang menyatakan tentang perniagaan yang tidak akan sekali-kali rugi.

“Apa ciri-cirinya dalam surah al-Faatir ayat 29 ini yang pertamanya adalah mendirikan solat, seperti yang dikatakan Coach Fadzil kita boleh solat di mana-mana di dalam Malakat Mall ini.

“Keduanya ialah infak kepada jalan Allah SWT, infak ini bukan hanya infak duit sahaja, kita infak fikiran kita dan usaha kita. Dari jauh datang ke sini untuk membantu umat Islam itu juga dikira sebagai infak ke jalan Allah.

“Jadi ciri-ciri ini kalau kita lakukan insya-Allah, perniagaan tidak akan sekali-kali rugi sebagai mana yang dijanjikan dalam al-Quran,” katanya.

Katanya, Pembela sebagai sebuah badan yang mewakili lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan ulama akan sentiasa bergandingan bahu dalam memastikan perancangan mewujudkan 100 Malakat Mall dapat direalisasikan.

“Bagi pihak Pembela saya merakamkan terima kasih khususnya kepada Malakat Mall, Kumpulan Brainy Bunch, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan pihak-pihak lain yang terlibat atas usaha yang dilakukan ini.

“Bagi kami ini adalah satu menifestasi kepada usaha Pembela sendiri dalam memulakan kempen BMF ke seluruh negara,” katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here