‘Kami harapkan doa rakyat Malaysia untuk bina negara’

0
103

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), berazam menghapuskan amalan politik yang hanya berdasarkan sentimen semata-mata.

Memetik laporan Berita Harian, Mufti Wilayah Persekutuan itu menegaskan, semua lapisan masyarakat perlu berusaha memupuk keharmonian ke tahap paling tinggi.

“Sifat toleransi, kasih sayang, rahmah dan hormat-menghormati perlu ada dalam setiap diri kita. Insya-Allah, badai politik semata-mata kerana sentimen dapat dibanteras.

“Marilah bersama-sama kita berpijak di bumi nyata dan katakan inilah negara kita cintai serta cuba bina sebaik mungkin.

“Kami mengharapkan sejumlah besar doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk kita sama-sama bina negara yang aman damai,” katanya ketika ditemui selepas sesi angkat sumpah Ahli Dewan Negara di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang dinamakan sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, membayangkan akan meneruskan beberapa dasar dirangka pentadbiran terdahulu.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan semua dasar itu perlu diteliti terlebih dahulu sejurus memulakan kerja, sebelum sebarang keputusan mengenainya dimuktamadkan.

“Kementerian akan bermesyuarat esok untuk meneliti keseluruhan perkembangan, tapi saya rasa banyak dasar terdahulu boleh dikekalkan, antaranya inisiatif reben kuning bagi bekas banduan juvana,” katanya.

Mengenai faktor Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, 47, yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan, walaupun sudah melepasi had usia belia, Wan Ahmad Fayshal berkata, ia bukan masalah besar selagi mampu memahami aspirasi golongan berkenaan dan ahli sukan di negara ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here