Kanak-kanak 5 tahun mangsa terbaharu rabies di Sarawak

0
160
Wabak rabies berpunca daripada gigitan anjing. – Gambar hiasan.

KUCHING – Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan kematian seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun di Bandar Sibu 26 Mac lepas disebabkan oleh wabak rabies, menjadikannya kes pertama dilaporkan tahun ini di Sarawak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia juga menjadikan jumlah kes rabies kepada 23 sejak penyakit itu diisytiharkan sebagai wabak di negeri ini sejak 31 Julai 2017.

Kali terakhir kes wabak ini dilaporkan adalah pada 8 November tahun lepas.

Menurutnya, mangsa terbaharu ini digigit anjing liar pada 8 Mac lepas di bahagian muka, mulut serta kelopak mata, dan luka gigitan itu tidak dicuci dengan aliran air yang bersih dan sabun sejurus selepas kejadian.

“Mangsa kemudiannya telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di Hospital Sibu pada hari sama, mendapat suntikan vaksin antitetanus, suntikan ‘Rabies Immunoglobulin’ (RIG) dan dua dos suntikan vaksin antirabies semasa dirawat di Hospital Sibu,” katanya dalam satu kenyataan dipetik Bernama di sini.

Mangsa telah dibenarkan keluar dari hospital itu dalam keadaan sihat pada 13 Mac lalu dan diberikan lagi dos ketiga vaksin antirabies tiga hari kemudian.

Dr. Noor Hisham berkata, mangsa telah dibawa untuk mendapatkan rawatan di sebuah Klinik Komuniti di Bandar Sibu kerana demam pada 24 Mac lalu dan seterusnya ke Hospital Sibu keesokan harinya kerana sakit tekak dan sukar untuk menelan air serta berhalusinasi.

“Mangsa telah dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut. Keadaannya bertambah teruk dan telah disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya. Punca kematian adalah ‘rabies encephalitis’,” katanya.

Sampel daripada kanak-kanak ini telah diambil pada 26 Mac dan disahkan positif rabies oleh Makmal Perubatan, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tiga hari kemudian, sementara anjing liar yang menggigitnya juga dilaporkan telah mati pada 10 Mac tanpa sempat diambil sampelnya.

Berikutan kes terbaharu ini, beliau menasihatkan orang ramai mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan daripada dijangkiti rabies termasuk langkah segera jika digigit anjing, pemberian suntikan antirabies dan penjagaan kebersihan dan kesihatan diri dan haiwan peliharaan.

“KKM dan JKN (Jabatan Kesihatan Negeri) Sarawak akan mempertingkatkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak, Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta agensi-agensi lain bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dilaksanakan secara menyeluruh.” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here