Kekang Covid-19 dengan ubah sikap dan gaya hidup kita

0
96

PENULARAN coronavirus Covid-19 kini pada fasa yang menggerunkan, apabila Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) sudah menggelarkannya sebagai satu pandemik.

Kali terakhir dunia berhadapan dengan ancaman sebegini adalah pada tahun 2009 apabila wabak H1N1 melanda.

Bagi Covid-19, setakat ini seramai 124,000 individu daripada sekurang-kurangnya 114 buah negara telah disahkan positif.

Daripada jumlah itu, statistik WHO menunjukkan seramai sekurang-kurangnya 4,600 individu telah kehilangan nyawa, manakala 68,000 lagi telah sembuh.

Pelbagai usaha telah dijalankan, dan pengumuman Covid-19 sebagai satu pandemik oleh WHO merupakan satu ‘arahan’ kepada pihak kerajaan untuk meningkatkan usaha melawan wabak ini daripada merebak.

Namun pada Cakcibor, sebagus mana pun usaha kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19, tidak akan berjaya jika orang awam tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan.

Sikap dan gaya hidup kita adalah kunci kepada melawan wabak ini daripada merebak.

Kita, sebagai rakyat Malaysia, perlu mematuhi segala nasihat yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerana setiap komunikasi yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, mempunyai tujuan dan matlamat mengekang penularan wabak ini daripada berleluasa.

Mungkin, kita rakyat Malaysia sudah terlalu alpa dengan keadaan sekeliling, terlalu terlindung daripada bencana dan malapetaka, membuatkan kita lalai dan terlalu mengambil mudah sesuatu yang disampaikan.

Ubatan dan vaksin bukanlah satu jawapan penuh bagi melawan wabak sebegini, tetapi rutin harian kita yang menentukannya. Dan merujuk kepada Covid-19, para pakar menjangkakan vaksin baginya hanya akan mula dihasilkan lagi 90 hari.

Jadi, sedarlah. Kurangkan berada di tempat awam dan bercampur gaul. Bukan selamanya, tetapi hanya untuk seminggu dua bagi mengelakkan perebakan jangkitan.

Sentiasalah bersihkan tangan dengan cairan antiseptik bagi membunuh kuman, sebelum menyentuh mata, tangan dan hidung sendiri.

Sikap dan gaya hidup kita menentukan segalanya.

Sendiri mau ingatlah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here