Kempen #RespectMyVote hanya burukkan Malaysia

0
70

Oleh SITI AZIELAH WAHI

CYBERJAYA – Kempen #RespectMyVote yang akan dilancarkan oleh gerakan Global Bersih hanya memburukkan nama Malaysia pada komuniti antarabangsa.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, gerakan tersebut dikhuatiri satu strategi yang didokong oleh pihak luar terutama negara-negara barat untuk meruntuhkan sesebuah negara. 

“Persoalannya, mengapakah Global Bersih ini hanya berdiam diri apabila berlaku kes-kes besar yang berprofil tinggi seperti kes pembunuhan Adib, komunis, LTTE dan lain-lain sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan dulu?,” katanya menerusi satu kenyataan di sini. 

Tambah Aminuddin, jika benar mereka memperjuangkan keadilan dan membawa mesej perjuangan untuk negara, mengapa kumpulan itu senyap apabila beberapa kes seperti bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng digugurkan; exco Perak yang dituduh merogol; penghinaan Raja-raja dan agama Islam yang merupakan agama rasmi Malaysia. 

“Yang paling penting, manakah ‘gerakan’ mereka ini apabila kerajaan menipu segala manifesto dan berlakunya salah guna kuasa?

“Atau adakah Global Bersih ini mahu negara kita dikawal oleh mereka yang bertunjangkan pemikiran Barat dan mahu menyusupkan idea-idea liberalisme?“ soalnya. 

Aminuddin turut mempersoalkan, apakah langkah memburukkan Malaysia di mata dunia baik untuk negara atau sekadar memenuhi nafsu mereka tanpa memikirkan rakyat. 

Sehubungan itu, beliau menyeru kerajaan agar memantau dan menyekat segala pergerakan mereka kerana tindakan radikal oleh golongan itu hanya akan menghancurkan negara.

“Mungkin mereka lupa, apa yang berlaku ini adalah salah puak-puak mereka yang gilakan kuasa dan asyik bertelagah sesama sendiri, bukannya salah orang lain.

“Adakah mereka sengaja ‘pejamkan mata’ apabila melihat pada hakikat ini?,” katanya. 

Beliau juga menasihatkan rakyat supaya berhati-hati dengan fitnah dibawa mereka yang sebenarnya bermotifkan kepuasan nafsu sahaja. 

“Sama-samalah kita pelihara nama baik negara. Jika tidak bersetuju dengan sesuatu pun, berpada-padalah,”katanya. 

Semalam sebuah portal berita melaporkan bahawa Global Bersih akan melancarkan kempen #RespectMyVote iaitu satu kempen yang dijalankan di media sosial di seluruh dunia.

Kempen itu menjadi platform bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara  menyatakan kebimbangan dan ketidakpuasan mereka terhadap keadaan politik semasa di Malaysia.

Organisasi yang bertapak di Geneva dalam satu kenyataan mewujudkan tanda pagar #RespectMyVote untuk rakyat Malaysia di luar negara untuk menyuarakan pendapat mereka. 

Menurut kenyataan tersebut, kempen itu terbahagi kepada dua segmen iaitu menggalakkan pengundi menulis surat kepada ahli Parlimen dan perhimpunan mikro Global Bersih. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here