Kerajaan digesa siasat, bicara semula kes berprofil tinggi

0
154

CYBERJAYA – Kerajaan baharu dibawah Perikatan Nasional digesa menyiasat serta membicarakan semula kes berprofil tinggi yang telah digugurkan sebelum ini.

Presiden Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, beberapa kes seperti pembunuhan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd. Kassim; pengguguran tuduhan terhadap mereka yang mempunyai kaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) serta himpunan bekas komunis.

Tambah beliau, isu komik yang membawa propaganda komunis serta kes wakil rakyat yang didakwa terlibat dengan kes rogol, dadah dan sebagainya.

“Semua kes ini harus dibicarakan seadil-adilnya mengikut kedaulatan undang-undang. Pembela meletakkan harapan tinggi terhadap kerajaan baharu ini supaya dapat melaksanakan keadilan sepenuhnya dalam urusan pentadbiran negara.

“Kami merafak sembah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Bagindan Yang di-Pertuan Agong diatas kebijaksanaan dan kewibawaan Seri Paduka menangani kemelut politik dengan akhirnya melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri baharu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Muafakat dekat sini hari ini.

Aminuddin menambah, Pembela memohon rakyat terutama ahli-ahli Parlimen tanpa berbelah bahagi wajib menghormati keputusan Seri Paduka.

Beliau yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) turut mengingatkan mana-mana individu, kumpulan atau parti politik tidak sesekali bertindak melampau sehingga berani menderhaka titah Seri Paduka.

“Sebarang tindakan protes keputusan Seri Paduka merupakan tindakan bertentangan dengan Perlembagaan dan boleh dikenakan bawah Akta Hasutan.

“Kita dimaklumkan pihak-pihak yang sudah melontarkan kata-kata kesat kepada Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Menurut beliau, Pembela juga menyokong penuh sebarang tindakan oleh pihak keselamatan untuk menyekat, menghalang dan menahan mereka yang menderhaka.

“Perbuatan itu amat jelas bertentangan dengan Rukun Negara iaitu kesetiaan kepada raja dan negara,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here