Kerajaan disaran hidupkan Pusat Bantuan Makanan sepanjang tempoh PKP

0
171

KUALA LUMPUR – Kerajaan disaran menghidupkan Pusat Bantuan Makanan bagi membantu mereka yang terjejas terutama di kawasan miskin bandar dan perkampungan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Perkara itu diusulkan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) dan Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Berhad (MTEM) yang turut meminta kerajaan dapat meningkatkan keberkesanan khidmat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membantu orang ramai yang terjejas dan tiada punca pendapatan sepanjang tempoh PKP.

“JKM boleh bekerjasama dengan pihak pertubuhan penduduk setempat untuk urusan mengenal pasti keluarga terbabit (yang layak dibantu Pusat Bantuan Makanan), jika tidak lebih ramai orang dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang bersimpati akan keluar membantu dan ini akan menjejaskan objektif PKP,” demikian menurut kenyataan bersama dikeluarkan DPMM dan MTEM seperti dipetik Bernama hari ini.

Selain itu, kedua-dua pihak tersebut turut mencadangkan supaya kerajaan dapat menyediakan insentif khas membela nasib peniaga kecil atau terus membenarkan gerai-gerai kecil dan penjaja beroperasi.

“Ini kerana mereka bukan syarikat korporat besar yang berkemampuan untuk bertahan satu atau dua bulan tanpa perniagaan. TEKUN, FAMA dan Mara boleh mula bekerja atau berfikir untuk memberi bantuan yang diperlukan golongan ini secepat mungkin,” menurut kenyataan itu.

DPMM dan MTEM juga menyarankan supaya kerajaan dapat memberi lebih bantuan wang tunai kepada Golongan B40 melalui Bantuan Sara Hidup (BSH); menunda segala tindakan undang-undang yang bakal berlaku kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) antaranya melibatkan penamatan perkhidmatan dan pengisytiharan muflis; memberi insentif kepada pengeluar dan pengedar yang menggunakan teknologi Internet dan e-Wallet tempatan; serta menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk memecahkan monopoli industri pemakanan dan pertanian seperti benih, beras import dan baja yang sebelum ini banyak diuruskan syarikat-syarikat swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here