Kerjasama strategik Malakat Mall, Bernama Radio

0
314

Oleh SITI AZIELAH WAHI

KUALA LUMPUR- Pusat Beli Belah Malakat Mall bakal menjalin kerjasama strategik dengan Bernama Radio dalam menyemarakkan lagi kisah-kisah kejayaan usahawan Muslim dan bumiputera di negara ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, selepas menjalin kerjasama dengan stesen televisyen Al-Hijrah, pihaknya melihat saluran radio turut memainkan peranan penting dalam menyalurkan berita-berita usahawan kepada masyarakat.

Tambah beliau, pihaknya melihat banyak peluang dan kerjasama boleh dijalinkan antara kedua-dua pihak dalam mencapai hasrat tersebut.

“Penjenamaan semula Bernama Radio sebagai radio untuk mempromosikan peniaga dan usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) adalah sesuatu yang  sangat baik dalam membantu usahawan lebih berjaya.

“Penjenamaan semula Bernama Radio adalah sangat baik, Insya-Allah kita akan adakan kolaborasi dengan Bernama (Agensi Berita Nasional Malaysia),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Wisma Bernama di sini hari ini yang disertai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Brainy Bunch, Hailmy Rizuan; Ketua Pegawai Operasi Brainy Bunch, Efizah Mohtar Rasali dan Pengarah Pembangunan Perniagaan Kumpulan Brainy Bunch, Fazli Rahim.

Kehadiran Kumpulan Pengurusan Malakat Mall disambut Timbalan Ketua Pengarang, Perniagaan dan Kewangan Jabatan Pengarang Bernama, Khairdzir Md. Yunus dan dibawa melawat beberapa jabatan Bernama yang beroperasi di Wisma itu.

Tambah Mohd. Fadzil, Bernama Radio yang mempromosikan peniaga dan usahawan IKS adalah sesuatu yang sangat baik dan membantu golongan itu lebih berjaya.

“Sepertimana kolaborasi dengan TV Al-Hijrah, kita akan jadi tunjang usahawan untuk tawarkan pakej promosi lebih besar tetapi mampu dimiliki dan bakal memberi impak lebih banyak kepada usahawan kita,” katanya. 

Selain itu, Mohd. Fadzil yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch berkata, pihaknya mengemukakan cadangan supaya Bernama Radio ditempatkan dalam platform menerusi aplikasi dalam talian, Aflix milik kumpulan itu.

“Di Malakat Mall pula kita akan jadikan Bernama Radio sebagai radio utama yang akan dimainkan dalam pusat beli belah untuk uar-uarkan berita-berita usahawan,”katanya. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here