Kes kematian pesakit Covid-19 diaudit

0
221
Sebuah jawatankuasa khas dengan diketuai Dr. Christopher ditubuhkan bagi menjalankan audit kematian pesakit Covid-19

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi menjalankan audit terhadap kematian pesakit-pesakit Covid-19 di hospital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jawatankuasa itu akan diketuai oleh bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) yang juga Pakar Perunding Penyakit Berjangkit, Datuk Dr. Christopher Lee.

Beliau berkata, Dr. Christopher akan dibantu oleh ahli daripada pakar-pakar pelbagai disiplin yang berkaitan.

“Melalui jawatankuasa ini, setiap butiran pengurusan dan rawatan yang telah diberikan kepada setiap kes kematian Covid-19 akan diteliti oleh pakar-pakar berkenaan.

“Hasil analisis ke atas maklumat ini diharap dapat membantu di dalam pengurusan pesakit-pesakit Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

setakat semalam, sebanyak 26 kes kematian akibat Covid-19 dicatatkan di seluruh negara.

Daripada angka tersebut, lebih separuh kes kematian mempunyai kaitan dengan kluster himpunan tabligh.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, Cawangan Kualiti Penjagaan Perubatan, Bahagian Perkembangan Perubatan akan bertindak sebagai Sekretariat Teknikal bagi jawatankuasa tersebut.

Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut mengucapkan terima kasih kepada Dr. Christopher yang sudi membantu walaupun telah bersara daripada perkhidmatan awam pada bulan Januari lalu.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here