Kesempitan wang: Ibu, bayi meninggal ketika bersalin di rumah

0
379
Uncle Kentang menyerahkan sumbangan kepada suami dan bapa mangsa yang meninggal dunia ketika bersalin di rumah mereka di Puchong Perdana, Selangor.

CYBERJAYA – Pilu dan menyayat hati apabila seorang ibu serta bayi yang baru dilahirkan meninggal dunia kerana tidak berkemampuan untuk mendapat rawatan di hospital.

Kejadian yang menimpa wanita warga Indonesia di Puchong Perdana dekat sini semalam itu dikongsikan aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Melalui video yang dikongsikan dalam saluran akaun Youtube miliknya, Chee Heng berkata, dia menerima berita kejadian itu selepas dihubungi suami mangsa yang mengaku kehilangan isteri ketika bersalin di rumah.

Lebih malang katanya, bayi perempuan yang dilahirkan di sebuah rumah lot kedai itu turut meninggal dunia dalam kejadian itu akibat komplikasi semasa bersalin.

“Saya bertanya kepada suami berkenaan kenapa isteri tidak dibawa bersalin ke hospital dia menjawab kerana ketiadaan wang.

“Mendengar kata-kata itu saya tidak dapat menahan air mata, terus saya peluk dia kerana saya pernah berada di ‘tempatnya’ pada masa yang mana ketika itu saya juga tiada duit menguruskan jenazah ayah saya,” katanya.

Katanya, kejadian itu telah dimaklumkan kepada pihak polis dan kedua-dua jenazah telah dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Uncle Kentang yang tiba di rumah mangsa menghulurkan sumbangan dan mengucapkan takziah kepada suami mangsa dan dilihat beberapa kali cuba menenangkannya.

Dalam pada itu, Chee Heng menasihatkan warga asing yang mencari rezeki di negara ini supaya ‘tidak segan’ menggunakan perkhidmatan perubatan di hospital kerajaan terutama dalam kes kritikal melibatkan nyawa seperti kemalangan atau bersalin.

“Apa yang yang penting kita utamakan dahulu soal nyawa. Duit dan wang ringgit boleh diusahakan kemudian dan kerajaan Malaysia tidak pernah berlaku kejam kepada warga asing,” katanya. – MT

Uncle Kentang menziarahi keluarga mangsa di Puchong Perdana, Selangor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here