Kilang senggara mesin dan jentera punca pencemaran Sungai Selangor

0
711
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Sebuah kilang menyelenggara mesin dan jentera disita Majlis Perbandaran Selayang (MPS) selepas dikenal pasti menjadi punca insiden pencemaran bau di Sungai Selangor pada Selasa lepas.

Pencemaran bau itu menyebabkan empat Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor iaitu LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang dihentikan operasi kira-kira tiga jam pada hari sama.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam satu kenyataan memberitahu bahawa siasatan mendapati kilang di Taman Industri Integrasi, Rawang itu gagal menjalankan penstoran sisa minyak yang melibatkan buangan terjadual mengikut syarat ditetapkan di kawasan premis terbabit.

“Siasatan awal pada Selasa menemukan pencemaran bau seakan-akan bahan pelarut daripada Kawasan Perindustrian Kecil Sungai Bakau di Sungai Gong, Rawang.

“LUAS kemudiannya menjalankan pensampelan minyak dan gris serta pemeriksaan hidrokarbon di titik pelepasan akhir kilang berkenaan dan Sungai Gong.

“Hasil siasatan menyeluruh LUAS bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS), MPS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, Unit Pengurusan Bencana Selangor dan Air Selangor semalam menemui sisa minyak di aliran pelepasan akhir yang akan mengalir masuk ke takungan seterusnya ke Sungai Gong,” menurut kenyataan dikeluarkan di sini, hari ini.

LUAS memaklumkan, pihaknya meletakkan Activate Carbon di Sungai Gong berhampiran kilang berkenaan bagi mengawal pencemaran bau yang dianggarkan sekitar satu ton.

Susulan itu, surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 dikeluarkan terhadap kilang terbabit untuk tindakan pembersihan segera.

Menurut kenyataan berkenaan, kilang terbabit juga dikenakan kompaun oleh JAS bagi kesalahan berkaitan pengurusan buangan terjadual yang tertakluk dalam Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

Sehubungan itu, LUAS bersama agensi berkaitan turut membuat pemantauan rapi dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada lagi LRA dihentikan operasinya bagi mengelakkan penyaluran bekalan air kepada pengguna terjejas.

“Kerajaan negeri Selangor dan LUAS menyeru supaya semua pihak prihatin terhadap kawasan sumber air negeri terutamanya sungai dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran bagi mengelakkan kejadian sama berulang,” menurut kenyataan itu.

Empat LRA yang dihenti tugas itu menyebabkan gangguan air tidak berjadual di tujuh wilayah iaitu Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat namun bekalan air dipulihkan secara berperingkat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here