Kita boleh sambut hari raya jika rakyat patuhi PKP-Ismail Sabri

0
132

PUTRAJAYA- Rakyat perlu mematuhi segala arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekiranya ingin kembali kepada kehidupan biasa termasuk meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persoalan sama ada PKP fasa dua yang akan berakhir 14 April ini akan disambung untuk fasa seterusnya atau tidak bergantung kepada kepatuhan rakyat dalam tempoh 14 hari mulai esok.

“Ramai yang bertanya apakah PKP yang kedua ini akan diteruskan menjadi PKP ketiga dan keempat? Adakah bulan puasa nanti PKP akan terus dilaksanakan?Bolehkah kita berhari raya dan sebagainya. Saya tahu ramai rakyat yang ingin kembali kepada kehidupan biasa.

“Tuan puan yang boleh memastikan tiada PKP ketiga, keempat. Sama ada kita boleh berhari raya seperti biasa (atau tidak), keputusan di tangan tuan dan puan sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Ismail Sabri menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan di Bangunan Perdana Putra di sini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, penentu segala apa yang akan terjadi selepas ini terletak sepenuhnya terhadap kepatuhan rakyat.

“Jika kita terus mematuhi setiap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan kerajaan, saya percaya perkara tentang ketakutan kita untuk sambungan PKP tersebut akan dapat kita selesaikan,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here