KKM tidak saran guna kit ujian pantas kesan Covid-19

0
68

Oleh SITI KHAIRULNISAH MOHAMMED BAJURI

CYBERJAYA – Kit ujian pantas (RTK) yang dijual di pasaran tidak dapat membantu mengesan jangkitan awal Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, RTK adalah untuk mengesan antibodi yang terhasil dalam badan akibat jangkitan dialami.

“Antibodi muncul dalam badan sekitar lima hingga lapan hari selepas jangkitan. Ujian RTK yang mengesan antibodi tidak disarankan untuk tujuan diagnosa Covid-19.

“Justeru, orang ramai digesa untuk tidak menjalani ujian RTK dengan sewenang-wenangnya tanpa mendapat khidmat nasihat daripada pengamal perubatan kerana ia berpotensi untuk menimbulkan salah tafsir dan keresahan terhadap keputusan ujian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, ujian Covid-19 yang dijalankan di makmal fasiliti KKM adalah menggunakan teknik ‘real time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction’ (rRT-PCR).

Jelasnya, ujian rRT-PCR Covid-19 yang positif bermaksud individu tersebut dijangkiti wabak berkenaan.

“Keputusan ujian yang tepat melalui teknik rRT-PCR adalah amat penting dalam pengurusan pesakit Covid-19 yang berkesan,” katanya.

Sebelum ini, terdapat sebuah syarikat penyedia perkhidmatan e-kerajaan mengumumkan akan membawa masuk RTK yang dibangunkan syarikat bioperubatan China terkemuka namun masih menunggu kelulusan KKM.

Syarikat itu mendakwa kit berkenaan layak bagi kebenaran untuk kegunaan kecemasan yang diberikan Pentadbiran Makanan dan Ubatan AS (USFDA) mengikut dasar mempercepat pengesanan dan diagnosis semasa kecemasan kesihatan awam. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here