Koummah sasar buka 45 pasar rakyat di Kelantan

0
381

RAUDHAH CITY – Koperasi Pembangunan Ummah Kelantan Berhad (Koummah) akan membuka semula keanggotaan kepada orang ramai yang ingin menyertainya dalam mengembangkan lagi koperasi itu dan perniagaan yang diusahakan.

Pengerusinya, Luqman Nurhakim Perma Suria berkata, setakat ini jumlah ahli koperasi itu adalah seramai 4,140 orang dan pendaftaran koperasi tersebut yang ditutup sementara akan dibuka semula.

“Kami cuba buat perubahan terutama kepada rakyat Kelantan. Walaupun negeri ini ramai yang berniaga dan orang kaya namun mereka lebih bersifat berseorangan.

“Perkara pertama yang perlu diubah ialah mengajak mereka semua berjemaah dan fokus kepada pembangunan ekonomi rakyat Kelantan,” katanya kepada Malakat Tribune.

Terdahulu beliau bersama rombongan yang disertai Ketua Prasarana kempen Buy Muslim First (BMF) Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Mohd. Noor Izzat Mohd. Johari menemui pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim di Kompleks Brainy Bunch di sini.

Tambah Luqman, beliau mahu melakukan perubahan namun cabaran yang dihadapi adalah mengubah fakta yang menyatakan Serambi Mekah itu antara negeri termiskin di negara ini bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil untuk dilakukan.

“Kami dalam proses menyelesaikan masalah terutama platform untuk memasarkan produk bumiputera Islam dengan membuka lebih banyak pasar raya sebanyak 45 buah dan rangkaian kedai runcit iaitu 600 buah.

“Jika masalah ini diselesaikan ia mampu merealisasikan kempen BMF,” katanya.

Menurutnya, Koummah kini mempunyai empat kedai runcit dan sebuah pasar raya menerusi projek pasar rakyat.

Katanya, koperasi itu akan membuka dua lagi pasar rakyat dalam masa terdekat dan sasaran sebanyak 10 buah pasar itu dalam masa setahun dan jangka membina 45 pasar yang sama dalam masa lima tahun.

“Kami sudah mendapat sokongan secara lisan dan akan diteruskan dengan perbincangan selanjutnya dari Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan untuk permohonan tanah seluas 18 hektar iaitu 0.4 hektar bagi 45 bidang tanah untuk setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membina pasar rakyat,” jelasnya.

Bagi kedai runcit pula, Luqman memberitahu, pihaknya akan bermula di sekolah terlebih dahulu dengan sasaran 600 kedai di semua sekolah di Kelantan.

“Kami telah mendapat sokongan secara lisan dan perbincangan lanjut dengan Yayasan Islam Kelantan (YIK) untuk memulakan projek di setiap sekolah itu terlebih dahulu.

“Kini sekolah dibawah YIK adalah sebanyak 92 buah. Kalau tiada masalah kami akan selesaikan pembinaan 600 kedai runcit dalam tempoh 10 tahun,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here