KPDNHEP tetapkan harga siling baharu topeng muka

0
274


CYBERJAYA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melarang pengeluar tempatan mengeksport topeng muka sebaliknya meningkatkan pengeluaran bagi kegunaan di negara ini.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya juga membenarkan pengimportan topeng muka dari luar negara untuk pasaran tempatan.

Menurut beliau, arahan itu selaras Perintah Kastam (Larangan Mengenai Eksport)(Pindaan) (No. 2) 2020 telah diwartakan di bawah Akta Kastam 1967 semalam dan segala eksport topeng muka ke luar negara tidak dibenarkan.

Beliau berkata, kerajaan telah melaksanakan sesi libat urus dengan pengeluar topeng muka tempatan. 

“Walau bagaimanapun, harga bahan mentah topeng muka yang 90 peratus diimport dari luar negara telah meningkat ke tahap tidak ekonomikal untuk pengeluaran dan pasaran runcit sejak wabak Covid-19 melanda dunia. 

“Kesemua empat kilang pengeluar topeng muka tempatan telah bersetuju meningkatkan pengeluaran dan bekalan domestik.

“Namun ia masih tidak mencukupi untuk sektor kesihatan dan barisan hadapan yang mengurus serta merawat pesakit kerana perlu diberi keutamaan terutama selepas gelombang kedua Covid-19 di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Alexander menambah, dengan menetapkan harga siling baharu topeng muka yang telah berkuat kuasa sejak 2009, pengeluar tempatan dan pengimport dapat meningkatkan bekalan itu untuk keperluan tempatan. 

“Harga baharu ini telah diwartakan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No. 2) 2020,” ujarnya.

Berikut merupakan harga baharu topeng muka yang dijual di pasaran:

1 – Topeng muka (pembedahan /perubatan ) satu lapisan (gelung telinga). Harga borong – RM5 sekotak, harga runcit =RM7 sekotak atau 15 sen seunit.

2 – Topeng muka (pembedahan/perubatan ) dua lapisan (gelung telinga). Harga borong – RM8 sekotak, harga runcit =  RM10 sekotak atau 10 sen seunit.

3. Topeng muka (pembedahan /perubatan) 3 lapisan (gelung telinga/ gelung kepala/ikatan pada kepala) Harga borong – RM75 sekotak atau RM1.50 seunit, harga runcit RM100.00 sekotak atau RM2 seunit

4 – Topeng muka ( pembedahan/perubatan) N95. Harga borong – 100.00 sekotak, harga runcit – RM6 seunit. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here