KPT yakin pelajar universiti mampu bertahan susulan lanjutan PKP

0
173
Dr. Mansor Othman

ALOR SETAR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yakin pelajar-pelajar yang kini berada di universiti masing-masing mampu bertahan berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Mansor Othman berkata, lanjutan PKP itu dilaksanakan sebagai langkah untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 di Malaysia.

“Sehingga kini, saya lihat pelajar kita mampu bertahan sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lepas dengan terus berada di dalam kampus. Jadi, saya mahu mereka terus bertahan dengan adanya bimbingan, bantuan dan kerjasama daripada pihak universiti.

“Pihak universiti juga telah mengambil langkah yang tepat untuk bersama-sama menangani isu Covid-19 ini,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Universiti Utara Malaysia (UUM) dipetik Bernama hari ini.

Dalam lawatan itu, Mansor meninjau Pantri Pusat Food Bank, Dewan Serbaguna SAC yang dijadikan tempat simpanan bekalan makanan serta Inapan Siswa (Inasis) Proton di mana beliau menyerahkan makanan kepada pelajar.

Beliau juga berharap pelajar dan ibu bapa dapat bersabar dan tidak bimbang kerana pihak universiti sedang menangani isu ini dengan baik serta kepentingan pelajar di dalam kampus turut dijaga.

“Saya ingin mengucap terima kasih kepada pengurusan UUM kerana menyediakan keperluan yang mencukupi untuk pelajar sepanjang tempoh PKP dengan menjaga kebajikan mereka termasuk kesihatan dan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UUM Prof. Datuk Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, semasa lawatan itu, Mansor dapat melihat persiapan UUM untuk pelajar di kampus itu sepanjang PKP.

“Persiapan yang dilakukan pihak universiti termasuk makanan, kesihatan dan keselamatan adalah mencukupi malah UUM berharap dapat menerima dana daripada pihak swasta dan persendirian untuk membantu universiti dalam meringankan bebanan pelajar,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here