Langgar PKP curi harum manis

0
209

KANGAR- Mahkamah Majistret Kangar hari ini menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas dua lelaki selepas yang mengaku bersalah mencuri mangga harumanis ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 25 Mac lalu.

Saiful Hizam Abdul Latif, 47, dan Noor Shabuddin Saidin, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Kamaliza Md. Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa mencuri 18 biji mangga harumanis di sebuah kebun milik seorang pengusaha di Kampung Cikgu Ali, Arau pada pukul 9.30 pagi, 25 Mac lalu.

Menurut laporan Berita Harian, mereka didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua yang dibaca berasingan, Saiful Hizam dari Taman Putra Height, Mata Ayer dan Noor Shabuddin dari Kampung Bukit Ulu Pauh, didapati secara bersama bergerak ke Kampung Cikgu Ali, pada 25 Mac lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 3(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (langkah-langkah di dalam kawalan tempatan jangkitan 2020) yang boleh dikenakan denda RM1,000 dan penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Norshuhada Mohd Yatim, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan.

Zuhair meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum berikutan Saiful Hizam mempunyai tanggungan isteri dan seorang anak selain kedua-duanya adalah penganggur.

Kamaliza menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap kedua-duanya bagi tuduhan mencuri dan dua bulan penjara bagi kesalahan mengingkari PKP yang berjalan serentak.

Kedua-dua hukuman berjalan serentak berkuat kuasa tarikh ditahan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here