Lapan peratus rakyat Malaysia masih gagal patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

0
61
Lapan peratus rakyat Malaysia masih gagal patuhi Perintah Kawalan Pergerakan

CYBERJAYA – Kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan meningkat kepada 92 peratus semalam hasil daripada operasi bersepadu yang dijalankan oleh pihak keselamatan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kadar tersebut meningkat sedikit berbanding 90 peratus yang dicatatkan pada hari sebelumnya.

“Semalam sebanyak 1,903 sekatan jalan raya dilaksanakan iaitu meningkat sebanyak 98 peratus berbanding hari sebelumnya, inilah kesan daripada kerjasama di antara PDRM dan ATM.

“Sebanyak 126,015 kenderaan diperiksa dan pemandu dinasihatkan untuk mematuhi pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dan pihak PDRM juga membuat sebanyak 1,718 hebahan di seluruh negara,” katanya dalam sidang akhbar khas selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan hari ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Beliau berkata, meskipun jumlah pematuhan meningkat dua peratus, jumlah kenderaan yang diperiksa mencecah 126,015 kenderaan menunjukkan masih ramai lagi gagal mematuhi larangan tersebut.

“Kita lihat sudah ada berkurangan dari segi kegagalan pematuhan ini, ada satu lagi pematuhan yang penting iaitu penjarakkan sosial satu meter, ini masih gagal dilaksakan sepenuhnya. Semalam saya ada di sebuah pasar raya, pengunjungnya masih berhimpit-himpit antara satu sama lain.

“Sewaktu membayar bil, kita lihat jarak mereka beratur masih kurang satu meter, saya menyeru dan berharap rakyat kita selain patuh larangan supaya tidak keluar dari rumah masing-masing, patuhi juga penjarakkan satu meter,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here