Larangan keluar antara negeri berkuat kuasa malam ini

0
182

CYBERJAYA – Orang ramai perlu memaklumkan kepada balai polis berhampiran dan mendapatkan surat perlepasan sekiranya ada keperluan untuk bergerak dari satu negeri ke negeri lain.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu akan dikuatkuasakan serta merta bermula tengah malam ini.

Abdul Hamid dalam sidang akhbarnya berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sediakan borang untuk orang ramai isi jila ingin pulang ke kampung.

“Pihak polis sudah bersedia sejak dua minggu lalu untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang akan berkuatkuasa esok.

“Antaranya, adalah larangan keluar antara negeri atau domestik yang akan berkuat kuasa malam ini. Orang ramai yang ingin balik kampung perlu maklumkan pergerakan mereka kepada polis.

“Mana-mana individu atau premis yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan tindakan.

“Kalau pelanggaran berleluasa dalam tempoh dua minggu ini, PDRM akan mengambil tindakan yang lebih drastik,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas Lanjut, Abdul Hamid berkata, ketika ini, belum sampai tahap untuk mengadakan sekatan jalan raya.

Dalam perkembangan lain, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba dalam sidang akhbar Harian Covid-19 memaklumkan kegagalan mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan yang berkuat kuasa tengah malam ini, boleh dikenakan hukuman penjara.

Katanya, ini mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.

“Bagi kesalahan pertama, individu yang gagal mematuhi arahan boleh dipenjarakan tidak melebihi tempoh dua tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

“Kesalahan kedua atau berikutnya boleh dipenjarakan tidak melebihi lima tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan yang berterusan, individu berkenaan akan didenda RM200 bagi tiap-tiap kesalahan berterusan,” katanya.

Dr. Adham berkata, orang ramai perlu bertanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing bagi membantu kerajaan membendung penularan wabak Covid-19. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here