
RAUDHAH CITY – Kira-kira 1,000 umat Islam menunaikan solat Jumaat secara berjemaah di dalam pusat beli belah, Malakat Mall di sini hari ini.
Solat Jumaat tersebut yang disifatkan bersejarah kerana kali pertama diadakan dalam pusat beli belah, dipimpin oleh Naib Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Masridzi Sat yang bertugas sebagai khatib manakala Pengetua Brainy Bunch, Ustaz Aden Sacra bertindak sebagai bilal bertugas.
Dalam khutbah yang dibacanya, beliau menekankan mengenai kepentingan untuk umat Islam menguasai ekonomi supaya tidak ditindas dan mampu memajukan ekonomi ummah.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kepada ibu bapa supaya sentiasa mencari dan menyediakan makanan halal kepada anak-anak mereka supaya menjadi umat yang baik dan tidak lalai.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan supaya umat Islam menjauhi perbuatan mungkar dan terlarang yang boleh mengundang kemarahan dan bala daripada Allah. -MT
