
CYBERJAYA – Pas mencadangkan kadar faedah atau riba yang dikenakan dalam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dihapuskan.
Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, langkah itu adalah pilihan yang lebih baik sekiranya kerajaan Perikatan Nasional tidak dapat menghapuskan hutang berkenaan.
“Sekiranya kerajaan diterajui Perikatan nasional hari ini tidak dapat menyelesaikan isu (menghapuskan hutan) PTPTN, dapat selesaikan yang tanpa riba sudah okey.
“Dalam Islam bila meminjam kena bayar, cuma jangan dikenakan riba,” katanya selepas Mesyuarat Lembaga Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK) di Kota Bharu seperti dipetik Harian Metro hari ini.
Ditanya mengenai manisfesto Pas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang mahu pinjaman itu dimansuhkan, Ahmad berkata, manifesto Pas tidak wajar disamakan dengan Perikatan Nasional.
“Sekarang ini, kita Perikatan Nasional yang mempunyai banyak parti,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, manifesto Pas hanya terpakai sekiranya Pas berjaya membentuk kerajaan sendiri.
Dalam perkembangan lain, Mohd Amar berharap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dapat menumpukan usaha memulihkan ekonomi dan mengurangkan tekanan ekonomi rakyat. – MT