Lelongan 1.5 tan ikan laku keras!

0
680

Oleh SITI AZIELAH WAHI

PUTRAJAYA – Dalam masa sejam, sebanyak 1.5 tan ikan yang dilelong di perkarangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) di sini licin diborong pelanggan pagi tadi.

Inisiatif lelongan ikan segar itu dilakukan MOA bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melalui Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dengan membeli ikan yang didaratkan dan menjualnya pada harga murah.

Pengurus Besar Nekmat, Azrin Shah Ismail berkata, isu lambakan ikan itu perlu diatasi bagi memastikan harga ikan tersebut tidak turun secara mendadak sehingga menjejaskan pendapatan nelayan.

“Lambakan ikan atau musim ikan banyak yang sedang berlaku sekarang disebabkan faktor musim ikan matang terutamanya ikan kembung,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, ikan kembung adalah antara spesies ikan pelagik yang mudah diperoleh di kawasan perairan Malaysia dengan menggunakan peralatan pukat jerut dan pukat hanyut.

“Ikan ini berhijrah mengikut taburan plankton dan juga suhu permukaan laut,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Nekmat juga membeli ikan-ikan tersebut untuk disejuk bekukan menggunakan teknologi ‘jndividual quick freezing’ atau IQF yang terletak di Kuala Kedah sebagai simpanan bagi kegunaan musim kekurangan bekalan.

“Diharapkan dengan langkah ini, nelayan masih lagi mampu meningkatkan
pendapatannya dengan menjual ikan tersebut kepada Nekmat,” katanya.

Sebelum ini, tular dalam media sosial isu lambakan ikan di beberapa jeti pendaratan ikan di Kedah.

Antara ikan yang dijual ialah ikan kembung dengan harga RM3 sekilogram, ikan selayang dan lengkoi berharga RM5 sekilogram serta ikan tongkol putih RM10 sekilogram.

Sementara itu difahamkan lelongan ikan-ikan tersebut akan dianjurkan lagi pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here