Lima inisiatif bantu PKS – Perdana Menteri

0
65
Lima inisiatif diumumkan kerajaan bagi membantu PKS

CYBERJAYA – Sebanyak lima inisiatif disediakan oleh kerajaan bagi membantu industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kekal bersaing dalam tempoh waktu sukar sekarang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berikutan itu, kerajaan dan Bank Negara akan menyediakan dana tambahan berjumlah RM4.5 bilion bagi membantu industri tersebut.

“Pertama, kerajaan akan menambah dana dalam tabung Bantuan Kemudahan Khas untuk PKS sebanyak RM3 bilion, menjadikan jumlah keseluruhannya RM5 bilion.

“Selain itu, kadar faedah bagi keseluruhan dana ini akan dikurangkan daripada 3.75 peratus kepada 3.5 peratus,” katanya.

Raudhah Grocer di Malakat Mall antara pasar raya yang banyak memasarkan produk PKS dari seluruh negara

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) hari ini.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan juga akan meningkatkan saiz dana sebanyak RM1 bilion kepada RM6.8 bilion di bawah Kemudahan Semua Sektor Ekonomi bagi meningkatkan lagi akses pembiayaan kepada PKS.

Pada masa sama, katanya, kerajaan akan menyediakan dana tambahan sebanyak RM500 juta di bawah Skim Kredit Mikro yang menjadikan jumlah keseluruhan RM700 juta bagi pembiayaan mudah.

“Skim ini akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional dengan menawarkan kadar faedah dua peratus sahaja tanpa cagaran.

“Syarat kelayakan pinjaman juga dilonggarkan dengan minimum enam bulan operasi berbanding setahun operasi.
Amaun pembiayaan juga ditingkatkan daripada maksimum RM50,000 kepada RM75,000 bagi setiap usahawan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut terbuka kepada semua usahawan mikro dalam semua sektor perniagaan termasuk pengusaha taska, operator bas dan teksi, industri kreatif dan peniaga atas talian.

Sementara itu, PKS yang mempunyai rekod perniagaan kurang daripada empat tahun juga boleh memanfaatkan skim BizMula-i dan BizWanita-i Syarikat Jaminan Kredit Malaysia Berhad (CGC) untuk pembiayaan sehingga RM300,000.

Selain itu, Muhyiddin berkata, Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) juga akan menyediakan kemudahan jaminan bernilai RM5 bilion selain meningkatkan kadar jaminan daripada 70 peratus kepada 80 peratus bagi syarikat PKS yang menghadapi masalah mendapatkan pinjaman.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here