Maaf jika kurang senang dengan kerja amal saya- Ebit Liew

0
731

CYBERJAYA- Penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew memohon maaf kepada segelintir pihak yang kurang senang dengan kerja amal dilakukannya bagi membantu petugas barisan hadapan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Beliau sebelum ini dilihat sangat aktif turun padang membantu golongan tersebut dan prihatin dengan pengorbanan setiap petugas barisan hadapan termasuk kakitangan Kementerian Kesihatan.

Kerja-kerja amal yang dilakukan beliau yang dikongsi dalam laman sosial juga mendapat sokongan daripada warga maya yang rata-rata memuji tindakan penceramah bebas berkenaan.

Tentang dakwaan yang dilemparkan kepadanya, Ebit Liew lebih selesa untuk tidak ambil pusing dan mengendahkannya selain terus menyalurkan bantuan kepada mereka memerlukan.

Menurut Ebit Liew, sedekah terbahagi kepada dua iaitu jenis sembunyi atau uar-uarkan namun kedua-duanya sah di sisi agama.

“Tapi apabila ada ustaz mesej saya atau pasukan saya kata apa saya buat ini tak ikhlas dan boleh jatuh haram sebab rakam dan tunjukkan. Siap lepas tu ‘update’ status dan kata saya di sana sini. Saya tak kisah pun. Tak rasa apa-apa.

“Dari kecil saya rasa macam ini. Saya tak rasa sedih bila orang cakap-cakap. Tapi ustaz-ustaz terasa juga sebab saya ini baru belajar Islam,” katanya dalam status Fafebook miliknya.

Meskipun terpaksa membataskan masa bersama ahli keluarga, namun ujarnya ketika ini orang ramai dilanda krisis hebat yang perlu dihadapi bersama.

“Keperluan di hospital yang teramat penting kerana ini melibatkan keselamatan mereka. Perkataan lain mereka merisikokan nyawa mereka untuk orang lain.

“Tengoklah berapa ramai petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor, pembantu perubatan, polis dijangkiti wabak Covid-19.

“Kesian mereka sangat. Berbaloi ke kerana gaji mereka buat semua itu tapi kerana Allah mereka berjuang berkorban. Itu pun ada mulut sumbang cakap macam-macam pada mereka. Sedih. Saya sayang mereka semua,” katanya.

Mengakui masih belajar dan mendalami ilmu Islam, penceramah berumur 36 tahun itu berkata, kerja amalnya berbekalkan dokumen sah dan persetujuan dari institusi berkaitan.

“Saya ada surat polis dan hospital. Surat kebenaran semuanya. Saya niat semua ini menjadi asbab kebaikan dan hidayah. Kita semua menjadi sebuah keluarga.

“Saya bersama sukarelawan melakukannya. Tidak libatkan staf sendiri. Biarlah saya sendiri yang buat semua ini dan beberapa sukarelawan lain. Semoga Allah lindung saya dan kamu semua dari Covid-19 ini.” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here