Main peranan putuskan rantaian Covid-19

0
137

APA Khabar Orang Kita…Nampaknya Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan sehingga 14 April 2020. Tempohnya makin lama dan tidak mustahil untuk disambung lagi sekiranya wabak Covid-19 ini terus merebak.

Pasti ada rasionalnya apabila kerajaan mengambil keputusan untuk memanjangkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan ini, manakan tidak kes yang disahkan positif Covid-19 ini makin meningkat dari hari ke hari.

Wabak ini memang menimbulkan rasa gusar semua pihak, jika berterusan penulis percaya ia akan menimbulkan lagi rasa panik dalam kalangan masyarakat kita yang sememangnya sudah lama rasa begitu.

Sehingga artikel ini ditulis, Malaysia telah mencatatkan sebanyak 2,031 kes dengan 24 kematian dilaporkan. Dengan trend peningkatan lebih 100 kes sehari, pasti rakyat perlu berdepan sebarang kemungkinan.

Bagi memutuskan rantaian Covid-19 ini, bukan sahaja barisan hadapan Kementerian Kesihatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sahaja yang main peranan, anda juga boleh.

Jadi mainkanlah peranan sebagai masyarakat yang berguna, tanpa mengira kaum, bangsa dan agama serta kefahaman politik dengan hanya mematuhi segala Perintah Kawalan Pergerakan dan yang utama duduk dirumah.

Kita tidak mahu virus ini terus merebak, dilaman-laman sosial dan portal berita melaporkan pelbagai aneka cara virus ini merebak. Mungkin ada yang ambil remeh sebab kita tidak nampak bagaimana virus itu menyerang.

Jika virus itu besar dan boleh nampak bagaimana ia singgah di badan-badan manusia, rasanya ramai yang duduk dirumah kunci pintu 24 jam. Namun, ia bukan begitu kerana ‘menyerang’ secara senyap dan terus merebak.

Jika dilihat dilaman sosial, pastinya mengundang sebak apabila ada bayi berumur 12 hari sudah terkena jangkitan termasuk kanak-kanak berumur dua dan empat tahun. Pastinya mereka tidak akan ditemani sesiapa di wad.

Memang sedih, itu bahagian pesakit yang disahkan positif Covid-19. Manakala, bagi pesakit yang meninggalkan dunia, sisi ceritanya berbeza dan boleh membuatkan air putih bergenang di kelopak mata setiap ahli keluarga.

Dengan 24 kematian direkodkan, cara pengurusan jenazah pesakit Covid-19 ini berbeza dengan kematian biasa. Jenazah akan ditayamun atau menyapu debu pada bahagian luar yang membaluti jenazah mangsa wabak.

Upacara pengkebumian pula hanya akan diuruskan oleh warga Kementerian Kesihatan dan waris dilarang sama sekali untuk berada di kubur bagi mengelak jangkitan Covid-19. Prosedurnya ketat, tetapi itu untuk kebaikan semua.

Jadi, ambil iktibar dan kita sama-sama mainkan peranan untuk mengawal virus Covid-19 ini terus merebak. Jika ada simptom-simptom Covid-19 segeralah membuat saringan kesihatan di saluran yang telah disediakan.

Apa yang pasti anda kena ingat, ‘berterus terang itu satu kejujuran’. Kenapa saya kata begitu, sebabnya ada pesakit yang tidak jujur dan tidak berterus terang sejarah perjalanan dan kontak rapat mereka ketika pemeriksaan.

Kenapa kejujuran itu penting?, sebabnya jangan kerana anda, semua orang terdekat termasuk jururawat dan doktor yang merawat anda terdedah kepada jangkitana virus Covid-19. Perkara ini sudah ada yang terjadi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here