MAIWP sumbang 300 bungkusan makanan kepada HKL, PPUKM

0
120


CYBERJAYA – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyampaikan sumbangan sebanyak 300 bungkus makanan setiap hari kepada petugas barisan hadapan di dua buah hospital di Lembah Klang bermula hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sumbangan itu diberikan kepada petugas terbabit sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sehingga 31 Mac ini.

Menurut beliau, dua hospital yang menerima menerusi misi #MUSAADAHCOVID19 adalah Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

“MAIWP sangat menghargai usaha dan pengorbanan petugas hadapan di HKL dan PPUKM. Mereka berkorban masa dan tenaga menyantuni pesakit terutamanya dalam situasi penularan Covid-19. ⁣

“Oleh itu, sebagai sebahagian misi #MUSAADAHCOVID19, MAIWP hari ini menyampaikan sumbangan berupa makanan kering kepada kedua-dua hospital itu,” katanya dalam ciapan akaun Twitter milik beliau hari ini.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada barisan hadapan semua hospital yang telah berkorban di kala negara dilanda ujian Covid-19.

“Terima kasih juga diucapkan kepada pembayar zakat Wilayah Persekutuan. Dengan zakat yang dibayar, manfaatnya dapat disalurkan kepada pelbagai pihak,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here