‘Makcik tak nak makanan, makcik nak beli telur sahaja’

0
379
Kakitangan Raudhah Grocer mengumpulkan barangan keperluan hasil sumbangan orang ramai menerusi Sadaqah Market untuk diberikan kepada golongan kurang berkemampuan.

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

RAUDHAH CITY – Seorang sukarelawan program Zero Hunger berkongsi kisah seorang wanita menolak pemberian makanan tetapi mahu membeli sebiji telur kerana golongan B40 lebih memerlukan berbanding dirinya.

Sukarelawan tersebut dikenali sebagai Ash Salleh berkata, kejadian berlaku ketika dia bersama rakan-rakan lain mengagihkan bantuan makanan di satu kawasan diduduki golongan berpendapatan rendah lalu bertemu seorang wanita yang hanya memiliki wang tersebut untuk membeli telur.

Antara barangan keperluan harian untuk disumbangkan kepada golongan memerlukan menerusi program Zero Hunger anjuran Malakat Mall dan Yayasan Brainy Bunch.

“Walaupun ketika itu kami sedang agihkan makanan percuma tapi makcik itu enggan ambil sebab merasakan ada orang lagi susah dan lebih memerlukan makanan itu berbanding dia.

“Makcik itu berkata tidak mahu makanan itu, biarlah orang yang lebih memerlukannya. Dia hanya nak membeli telur sambil menghulurkan 40 sen di tangan,” katanya dalam keadaan sebak seperti disiarkan secara langsung akaun Facebook Malakat Mall hari ini.

Tambah Ash, situasi itu sangat meninggalkan kesan yang mendalam buat dirinya.

“Kalau boleh hari ini atau esok, kita mahu membawa kira-kira 30 bungkus makanan untuk diagihkan di kawasan itu lagi.

“Saya cuba cari makcik itu lagi untuk bantu beri makanan kepada dia,” katanya.

Barangan keperluan untuk dihantar kepada golongan memerlukan menerusi program Zero Hunger anjuran Malakat Mall dan Yayasan Brainy Bunch.

Program Zero Hunger anjuran Malakat Mall dengan kerjasama Yayasan Brainy Bunch bertujuan membantu golongan memerlukan yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan dalam membendung wabak Covid-19 di negara ini.

Golongan terkesan adalah terdiri daripada peniaga kecil-kecilan, pasar malam dan lain-lain yang bergantung kepada gaji harian.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui www.SadaqahMarket.com dan sumbangan anda akan disalurkan kepada golongan terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here