Malakat Mall dapat sambutan luar jangka-Fadzil

0
6212

RAUDHAH CITY- Sambutan luar jangka, itu yang dapat digambarkan mengenai sambutan hari pertama prapembukaan pusat beli belah ‘Buy Muslim First: (BMF) pertama negara iaitu Malakat Mall hari ini.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, beliau tidak menyangka laluan di sekitar Malakat Mall itu sesak sehingga dua kilometer kerana orang ramai datang ke pusat beli belah berkenaan.

“Kita memang doakan agar mendapat sambutan sebegini, saya difahamkan laluan masuk ke Malakat Mall sesak sepanjang dua kilometer. Ini sambutan yang luar biasa, terima kasih semua.

“Sebenarnya promosi kita tidak dibuat secara menyeluruh lagi. Gegantung juga tidak digantung kerana belum dapat kelulusan dan yang ada hanya promosi melalui dalam talian sahaja.

“Saya cukup yakin, apa yang Allah janjikan cukup indah. Kita hanya merancang tetapi, Allah yang tentukan segala-galanya. Alhamdulillah hari ini, kita dapat saksikan.

“Kita di sokong oleh insan luar biasa, antaranya sepasang suami isteri yang berkerusi roda dari Batu Pahat, Johor. Bawa banyak ‘cash’ untuk berbelanja dan labur melalui koperasi Islam,” katanya.

Bagi pihak Malakat Mall, Mohd. Fadzil juga memberi jaminan bahawa segala sistem termasuk aplikasi Raudhah Pay dan tanda harga di Raudhah Grocer akan lebih sistematik bermula esok.

“Hari ini kita berdepan sedikit masalah dengan Raudhah Pay dan tanda harga. Mungkin banyak barang yang sampai lambat dan staff kita juga tidak sempat mengemas kini data.

“Malam ini kita akan perbetulkan semua untuk persediaan hari esok. Saya sendiri sudah mohon maaf kepada pelanggan ketika mereka beratur. Alhamdulillah mereka faham dan beri semangat.

“Esok mula cuti sekolah, saya jangka kita akan mendapat sambutan lagi luar biasa. Jadi, jangan serik untuk datang lagi dan lagi ke Malakat Mall ini. Ini perjuangan kita bersama,” katanya.

Mengulas lanjut, sehingga pukul 5 petang tadi, Mohd. Fadzil berkata, dianggarkan lebih 2,000 keluarga telah berkunjung ke Malakat Mall dan jumlah itu dijangka bertambah hingga malam ini.

“Hari ini promosi yang kita lakukan iaitu ikan pelaling 10 sen seekor dan ayam RM5 seekor habis dalam masa sejam sahaja. Terima kasih atas sokongan, untuk ayam akan berterusan hingga Ahad.

“Apa pun, sejarah utama hari ini ialah kita buat Solat Jumaat dalam Malakat Mall yang diimamkan oleh Naib Pengerusi Pembela, Masridzi Mat. Ini adalah kelebihan kita.

“Kita dahulukan yang wajib, Alhamdulillah solat kita utamakan. Pekerja dan pelanggan kita tidak perlu berkejar-kejar untuk tunaikan solat kerana kita sediakan segala kemudahan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Fadzil atau lebih dikenali Coach Fadzil menjangkakan aliran tunai hari pertama pembukaan Malakat Mall ialah sebanyak RM200, 000 hingga RM300, 000.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here