Malakat Mall: Hanya Raudhah Grocer dibuka kepada umum

0
680

RAUDHAH CITY – Hanya Raudhah Grocer yang akan dibuka kepada orang ramai di pusat beli belah Malakat Mall bagi tempoh 17 hingga 31 Mac.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, tempoh operasi Raudhah Grocer tidak berubah iaitu bermula 10 pagi hingga 10 malam.

Beliau berkata, keputusan berkenaan bermakna semua kedai di Malakat Mall akan ditutup kepada orang ramai bagi mengikut saranan kerajaan.

“Semua kedai kecuali Raudhah Grocer kita akan tutup mulai 17 Mac (Selasa). Kita ambil langkah awal bagi bantu kemaskini ‘team’ pasar raya.

“Untuk F&B pula, Restoran Bunch-Oh akan beroperasi seperti biasa, tetapi hanya menerima tempahan dalam talian sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Malakat Tribune selepas pertemuan dengan staf Malakat Mall bagi menerangkan operasi pusat beli belah itu.

Mohd. Fadzil berkata, sepanjang tempoh itu juga pihak pengurusan akan meningkatkan tahap kawalan kemasukan para pelanggan.

“Kita hanya buka satu pintu utama sahaja untuk ke Raudhah Grocer. Pemeriksaan suhu badan akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko.

“Langkah ini diambil untuk kebaikan bersama kerana kita mahu kurangkan risiko penularan Covid-19. Cecair pencuci tangan juga disediakan,” katanya.

Sementara itu katanya, sepanjang tempoh itu orang ramai juga digalakkan untuk mengunakan perkhidmatan ‘Malakat Delivery’ untuk membeli barangan keperluan.

“Untuk pembelian di Raudhah Grocer dan Bunch-Oh, pelanggan boleh guna perkhidmatan Malakat Delivery. Jadi tidak perlu lagi keluar rumah.

“Perkhidmatan ini akan beroperasi untuk pesanan sekitar Lembah Klang, untuk operasi 24 jam pun kita bersedia untuk pelanggan.

“Setakat ini tiada had masa dan tempahan, kita akan lihat sistem bagi memastikan ia berfungsi dengan baik untuk pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, situasi yang berlaku juga ada hikmahnya kerana ia memberi masa kepada Malakat Mall untuk perbaiki kekurangan.

“Kita akan perbaiki termasuk sistem-sistem di Raudhah Grocer, staf-staf lain akan bantu. Jadi, kita boleh buat persediaan untuk lebih baik,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here