Malakat Mall mula dibuka kepada orang ramai

0
228

Oleh SITI AZIELAH WAHI

RAUDHAH CITY – Setelah hampir enam bulan membuat persiapan, hari ini Pusat Beli Belah Malakat Mall mula dibuka kepada orang ramai.

Malakat Mall merupakan satu usaha strategik pengasasnya, Mohd. Fadzil Hashim dalam membantu meningkatkan ekonomi usahawan Muslim dan usaha mentransformasikan sistem ekonomi kapitalis sedia ada kepada sistem ekonomi Islam yang lebih adil dan bebas riba.

Belum pun beroperasi sepenuhnya, kemeriahan dan sokongan diterima amat luar biasa sejak berita mengenai pengambilalihan pusat beli belah itu yang terbiar sejak tiga tahun lalu.

Menurut Mohd. Fadzil, Malakat Mall adalah milik semua dan milik pengguna Islam kerana apa saja yang dibelanjakan di pusat beli belah itu akan di pulangkan kembali kepada pengguna melalui pemberian dividen.

“Apa yang lebih penting, ini merupakan platform untuk membantu usahawan-usahawan bumiputera dalam mengetengahkan produk mereka yang sangat berkualiti yang boleh disaksikan sendiri melalui produk-produk yang pasarkan di dalam Malakat Mall.

“Kami berharap pengguna akan menyokong dan berkunjung untuk membeli-belah di Malakat Mall untuk membantu lebih ramai lagi usahawan bumiputera,” katanya

Antara tumpuan utama di Malakat Mall adalah Raudhah Grocer, sebuah pasar raya yang menghimpunkan ribuan produk keluaran Muslim yang sangat berkualiti dan setanding dengan jenama antarabangsa.

Jenama lain yang terdapat di Malakat Mall adalah Tahan Sports, Jojo Shoes, Petak, Conteng, Eebu, C&E, 2358 Fashion, Himawari, Togomen Homme, DIY Malaya dan Iqra Read Bookstore.

Berkeluasan lebih 140,000 kaki persegi dan terdiri daripada tiga blok bangunan empat tingkat, Malakat Mall adalah sebuah pusat beli belah tempat usahawan Muslim berdiri, berjalan dan berlari.

Terletak di bandar teknologi Cyberjaya, Malakat Mall menyasarkan untuk menarik lebih 15,000 pelanggan dalam masa sebulan yang pertama.

Malakat Mall merupakan satu-satunya pusat beli-belah di negara ini yang mempraktikkan amalan patuh syariah dan menghidupkan syariat Islam seperti laungan azan, solat berjemaah dan solat Jumaat.

Antara konsep yang menjadikan Malakat Mall ini lebih daripada pusat beli belah biasa ialah konsep ‘7 minit Solat Break’ di mana peniaga dan pengunjung bebas untuk bersolat di mana-mana sahaja di dalam kawasan pusat beli belah itu.

Bagi membantu usahawan bumiputera yang di peringkat ‘start-up’, Malakat Mall menawarkan peluang untuk mereka memasarkan produk dengan kadar sifar sewa dan beberapa pakej lain bergantung kepada kesesuaian perniagaan mereka.

Bagi mereka yang berminat untuk sertai bolehlah mendaftar atau datang terus ke Malakat Mall untuk sesi penerangan.

Sehubungan itu Mohd. Fadzil mengajak semua pengguna Muslim terutamanya di kawasan Cyberjaya, Putrajaya, Puchong, Bangi dan dari mana-mana sahaja untuk bersama dalam perjuangan ini dengan terus menerus menjadi pelanggan Malakat Mall serta membantu dalam mempromosikan lagi Malakat Mall ini kepada semua lapisan masyarakat.

“Malakat Mall, ini ‘Mall’ Kita.” – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here