Malakat Mall, Yayasan Brainy Bunch lancar program bantu B40

0
477

Oleh NINA FARZUIN MD. SHAROM

RAUHDAH CITY – Malakat Mall dengan kerjasama Yayasan Brainy Bunch melancarkan Program Zero Hunger bagi menyediakan bantuan kepada keluarga B40 yang tidak berkemampuan membeli makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan dilaksanakan.

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim turut meyeru orang ramai yang lebih berkemampuan untuk turut serta memberi sumbangan dalam menjayakan kempen itu.

“Susulan daripada Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan bagi membendung penularan virus Covid-19, rakyat khususnya golongan B40 antara yang terkesan kerana kebanyakkan mereka adalah pekerja bergaji harian atau peniaga kecil-kecilan.

“Kita boleh menganggap mereka akan terputus sumber pendapatan dan tidak mempunyai wang membeli makanan untuk keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memaklumkan, pihaknya akan menyediakan 5,000 bakul berisi makanan keperluan asas bernilai RM100 setiap satu untuk diagihkan kepada keluarga golongan itu yang layak bagi membantu meringankan beban mereka.

“Kami juga akan memberi nasi bungkus siap masak untuk mereka yang tidak mempunyai makanan langsung.

“Buat masa ini kami hanya boleh cuba membantu pemohon dari beberapa kawasan di Cyberjaya, Putrajaya, Kajang, Bangi, Puchong dan PPR Kota Damansara,” katanya.

Katanya, sekiranya terdapat mana-mana pihak yang memerlukan bantuan di sekitar kawasan terlibat boleh membuat permohonan untuk mendapatkan bantuan tersebut.

“Syaratnya pendapatan isi rumah tidak melebihi RM3,500 sebulan dan tidak memiliki bekalan makanan yang mencukupi, tanggungan isi rumah yang tinggi atau pekerja mendapat notis bercuti tanpa gaji sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan itu dilaksanakan.

“Syarat lain, pemohon memiliki masalah lain menyebabkan hilang punca pendapatan, peniaga pasar malam yang tidak dapat berniaga serta ibu tunggal mempunyai tanggungan isi rumah yang banyak sepanjang tempoh arahan itu dilaksanakan,” katanya.

Zero Hunger merupakan satu unit utama di Yayasan Brainy Bunch yang membawa misi menyediakan makanan kepada keluarga memerlukan dan tidak berkemampuan.

Bagi orang ramai yang mahu memberikan sumbangan boleh ke laman sesawang https://sadaqahmarket.com. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here