Malaysia dipilih WHO jalankan kajian Remdesivir

0
166

Oleh NINA FARZUIN MD SHAROM

CYBERJAYA – Malaysia adalah antara negara yang dipilih Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi menjalankan kajian menguji keberkesanan ubat merawat pesakit Covid-19 dikenali sebagai Remdesivir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia dipilih berikutan kemampuan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam melaksanakan kajian perubatan.

“Who telah hubungi KKM dan memaklumkan Malaysia dipilih sebagai salah satu pusat untuk menjalankan penyelidikan rawatan Covid-19.

“Kajian ini dilaksanakan diperingkat dunia di mana Malaysia antara negara yang terpilih untuk turut serta dan malam ini kita akan ada perbincangan lebih lanjut dengan pihak WHO,” katanya dalam Sidang Akhbar Khas Covid-19 di kementerian itu hari ini.

Katanya, penyelidikan akan dibuat di Hospital Sungai Buloh dan hospital yang merawat pesakit Covid-19.

“Sama ada ubat ini mujarab atau tidak, kita perlu laksanakan penyelidikan. 

“Penyelidikan ini akan tertumpu di Hospital Sungai Buloh dan hospital yang lain yang telah dikenal pasti, KKM mungkin akan senaraikan sebagai satu tempat untuk kita mengumpul data-data dan memberi rawatan kepada pesakit menggunakan ubat terbaharu ini.

“Di KKM kita ada tiga tanggungjawab besar iaitu memberikan perkhidmatan, menjadi tempat latihan pakar perubatan, jururawat dan sebagainya, selain menjalankan penyelidikan di dalam negara dan peringkat luar dengan dengan kerjasama agensi lain contohnya WHP,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here