Masa untuk kita bersatu

0
55
Perintah Kawalan Pergerakan kini dilanjutkan sehingga 14 April.

PELANJUTAN tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyedarkan kita betapa usaha mengekang jangkitan Covid-19 di negara ini memerlukan masa yang lebih lama.

Tempoh PKP yang lebih panjang itu sudah tentu memberi kesan kepada pelbagai aspek kehidupan terutama pada sudut sosial dan ekonomi.

Dalam keluh kesah rakyat yang mula gelisah, wajib kita fahami bahawa pelaksanaan itu dibuat mengatasi segala kepentingan lain iaitu untuk mempertahankan nyawa seluruh rakyat negara ini.

Tanpa jaminan kesihatan awam, apalah erti sebuah institusi kekeluargaan bahkan sebuah empayar perniagaan yang bernilai jutaan ringgit juga tidak lagi bererti.

Bukan sahaja kesihatan, aspek ketenteraman awam juga menjadi elemen terpenting dalam radar pasukan keselamatan kita. Dalam kata lain, kerajaan perlu memastikan tiada hura-hara dan kekacauan berlaku dalam tempoh kritikal ini.

Justeru jangan diratapi sangat kesengsaraan untuk sementara waktu ini kerana apa yang lebih penting adalah untuk kita semua bebas daripada jangkitan wabak maut ini. Perit sudah tentu perit untuk kita bertahan, demi sebuah kemenangan.

Atas sebab itu penulis melihat penangguhan bayaran hutang bank selama enam bulan oleh Bank Negara ‘memperingatkan’ kita bahawa tempoh separa darurat ini perlu dilalui dengan penuh sabar dan keinsafan.

Sekurang-kurangnya penangguhan bayaran itu mengurangkan beban golongan yang terjejas mata pencarian dan memanfaatkan sepenuhnya wang tersebut untuk keperluan keluarga.

Bahkan dengan segala kemudahan itu dan inisiatif pengeluaran wang simpanan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), rakyat masih meramalkan kehidupan yang mencabar untuk beberapa bulan akan datang.

Bagi yang mempunyai simpanan wang mencukupi mungkin tidak begitu terasa tetapi bagi golongan yang bergantung kepada gaji bulan atau pendapatan harian, masa depan masih juga kabur.

Justeru, selain bantuan di peringkat kerajaan, kordinasi bantuan di peringkat lebih rendah misalnya agensi-agensi seperti pusat zakat, pengurusan masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu digerakkan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan.

Dari perspektif penerima pula, berilah keutamaan kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Singkirkan sifat tamak pada barang percuma kerana sumbangan hari ini bukan sumbangan yang biasa anda terima seperti hari-hari sebelum ini.

Di kawasan tempat tinggal penulis di sekitar Kajang dan Bangi, salah satu daripada NGO yang aktif dalam pengagihan bantuan kepada golongan B40 pada masa ini adalah pasukan Malakat Mall melalui program mereka, Zero Hunger.

Sejak dimulakan, program itu telah mengagihkan bantuan kit makanan asas kepada kira-kira 500 keluarga. Dalam memastikan kelangsungan bantuan itu, pihak pengurusan mengalu-alukan derma dari orang ramai melalui laman www.sadaqahmarket.com.

Selain sumbangan atau derma di peringkat masyarakat B40, kelompok barisan depan yang bertarung nyawa menyelamatkan mangsa-mangsa Covid-19 juga memerlukan bantuan kita semua untuk kekal bersemangat.

Sektor korporat yang selama ini menjana keuntungan jutaan dan billion ringgit hasil daripada keamanan negara ini juga perlu tampil meringankan beban Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya dalam mendapatkan peralatan kesihatan yang diperlukan.

Sekecil-kecil bantuan pun, sudah pasti dapat memberi kekuatan dan kemudahan kepada petugas barisan depan untuk kembali bertenaga melindungi bukan sahaja ahli keluarga mereka bahkan kita seluruh rakyat Malaysia.

Jom kita bantu mana yang mampu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here