Mediu sokong usaha bendung penularan Covid-19

0
77

KUALA LUMPUR – Universiti Antarabangsa Al Madinah (Mediu) menyokong usaha kerajaan Arab Saudi dalam membendung penularan virus Covid 19 dengan menangguh visa umrah dan ziarah.

Menurut Ketua Eksekutif Mediu, Dr. Fadlan Mohd. Othman, langkah tersebut sesuai dengan kaedah agama yang disebut sebagai ‘sadduz zariah’ yang bermaksud pencegahan kerosakan sebelum berlaku.

“Langkah ini juga menepati salah satu maqasid syariah dan dasar utama Islam yang disebut sebagai ‘hifzul nafs’ iaitu pemeliharaan nyawa.

“Kenyataan Kerajaan Malaysia yang menjelaskan tentang penangguhan ini juga amatlah baik dalam memberi kefahaman kepada para jemaah umrah dari Malaysia khususnya.

“Saya juga berdoa agar penduduk negara dua kota suci umat Islam, Arab Saudi serta seluruh umat Islam di serata dunia terpelihara daripada ancaman virus ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadlan berkata, semua pihak yang terkesan dengan penangguhan visa ini diminta bersabar dan sentiasa berdoa agar Allah menjauhkan dan menghapuskan virus ini serta virus-virus lain daripada umat Islam.

Jelasnya, antara sebutan yang diajarkan semasa menghadapi kesukaran adalah Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un’, boleh juga disebut ‘Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

“Nabi Muhammad SAW mengajar pelbagai doa untuk diamalkan oleh umatnya. Antara doa yang boleh diamalkan dalam situasi penularan virus adalah Allahumma inna na‘uzu bika minal barasi wal jununi wal juzami, wa min sayyi’il asqam.

“Maksudnya, Ya Allah, kami berlindung denganMu daripada sopak, gila, kusta dan daripada penyakit-penyakit yang dahsyat. Pada kesempatan ini juga, saya dengan rendah diri menggesa agar pihak-pihak berkepentingan dapat berbincang mencari jalan penyelesaian yang menguntungkan semua pihak, “katanya.

Jelasnya lagi, amatlah baik jika kerajaan Malaysia, agensi pelancongan, syarikat penerbangan dan para jemaah umrah dapat mencari ruang perbincangan secara harmoni.

“Dengan ini, pasti kita berjaya mencapai satu kata sepakat yang munasabah dan menguntungkan dalam mendepani penangguhan visa ini,” ujarnya.

Beliau berkata, walaupun perit untuk menangguhkan umrah dan ziarah, khususnya apabila pelbagai persiapan telah dibuat, namun pasti ada hikmah dalam setiap ketentuan Allah. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here