Membudayakan al-Quran dalam Maidatul Quran

0
381

CYBERJAYA – Dalam membudayakan amalan membaca al-Quran oleh umat Islam di negara ini, stesen televisyen Islamik negara, TV-AlHijrah menerbitkan rancangan Maidatul Quran setiap Jumaat bermula hari ini pukul 9 malam.

Ketua Pegawai Eksekutif Alhijrah Media Corporation, Namanzee Harris berkata, program tersebut adalah cetusan idea dan kolaborasi antara stesen televisyen itu dengan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Menurut beliau, rancangan itu akan mengajak penonton untuk mengimani, memahami, mengamalkan dan menyebarkan kalam Allah SWT.

“Dalam menyasarkan keseimbangan pembentukan pola fikir seorang Muslim, Maidatul Quran yang dihoskan Fahrur Raqib Abdul Majid turut menerapkan konsep hiburan Islamik dengan menjadikan alunan bacaan ayat al-Quran, qasidah dan zikir sebagai elemen utama rancangan tersebut.

“Demi memastikan para penonton menikmati Tasawwur Islam menerusi rancangan itu, pemilihan qari dan qariah pada setiap episod dilaksanakan penuh teliti dalam memastikan mesej serta objektif rancangan tersebut dapat diterima selain difahami masyarakat,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Tambah Namanzee,  antara barisan qari hebat yang mengalunkan bacaan al-Quran adalah Johan kategori tilawah Al-Quran Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1441H/2020M iaitu Muhammad Qayyim Nizar Sarimi yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan.

“Turut memperdengarkan bacaan adalah Ustaz Wan Fakhrul, Ustaz Amirahman, Ustaz Tirmizi Ali, Adik Muhammad Harith Hakimi, Normalina, Nor Farhatul Fairuzah dan penampilan istimewa Qari antarabangsa iaitu Sheikh Momin Hawas,” ujarnya.

Beliau berkata, stesen televisyen itu amat berkeyakinan bahawa Maidatul Quran  mampu membudayakan al-Quran dalam meningkatkan kualiti kehidupan seharian. 

“Jangan ketinggalan untuk terus setia bersama TV AlHijrah sepanjang tahun ini kerana banyak rancangan baharu dan terbaik telah disusun khas untuk sajian penonton,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here