Mereka juga di barisan hadapan

0
275

SELAIN petugas kesihatan awam dan swasta, golongan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan dan barang juga diangkat sebagai wira barisan hadapan ketika negara kini berdepan wabak Covid-19.

Walaupun tidak berdepan dengan kes-kes positif secara langsung seperti kakitangan di hospital, perkhidmatan mereka dalam keadaan serba genting seperti ini juga wajar dihargai.

Bergantung pada bayaran yang tidak seberapa, kesanggupan untuk terus kekal pada sumber pendapatan itu sebenarnya banyak membantu masyarakat dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini.

Tanpa komitmen kumpulan pekerja yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muda itu, sudah tentu sukar bagi sebahagian kita untuk menjalani kehidupan seharian.

Bahkan kisah di sebalik profesion yang popular dengan gelaran ‘rider’ ini sudah kerap dikongsi warga maya. Ada kisah rider menunggang dengan anak kecil, ada yang terpaksa makan dan solat di bawah pokok serta tidak kurang juga kisah keikhlasan memberi pertolongan kepada pemandu lain di jalan raya.

Hakikatnya mereka juga seperti kita semua mencari rezeki. Ada hari mereka mencapai sasaran pendapatan dan ada hari tugasan terhalang oleh cuaca dan pelbagai ragam jentera pacuan.

Penulis pernah beberapa kali berurusan dengan ‘rider’ penghantaran makanan dari Grabfood dan FoodPanda. Ada ketika kami bersembang seketika, sekadar mahu berpesan pasal bahaya di jalanan.

“Itu sudah rutin harian kami bang, kalau tak jadi ‘rider’ pun, kami tetap bawa motosikal. Cuma sekarang kena lebih berhati-hati sebab sepanjang hari di jalan raya,’’ kata Khairul atau Khairil, salah seorang ‘rider’ pada pertengahan tahun lalu.

Dia yang beroperasi di sekitar Bandar Baru Bangi berkata, sepanjang tiga tahun menjadi ‘rider’, sudah beberapa kali dia terlibat dalam kemalangan, cuma tidak ada yang begitu teruk.

“Ada kawan-kawan yang kemalangan sampai terlantar di hospital. Anak dan isteri terkontang-kanting la bang. Nasib baik kami ada kelab untuk kumpul duit beri bantuan,’’ katanya.

‘Rider’ terakhir yang penulis temui beberapa bulan lalu pula berkongsi dimensi kerjaya itu yang agak berbeza.

Perwatakannya kemas dan melihat pada cara bercakap nampak cerdas dan sopan orangnya.

Berbanding perbualan mengenai risiko kerja sebagai ‘rider’, dia kelihatan lebih banyak mahu bercakap mengenai etika dan ‘profesionalisme’ sebagai seorang ‘rider’.

“Saya buat kerja ini pada mulanya sekadar suka-suka sahaja. Selepas hilang kerja sepenuh masa baru-baru ini, saya cuba buat Grabfood lama-kelamaan saya jadi senang dengan kerja ni.

“Imbuhan tidaklah hebat tapi ada banyak kelapangan masa untuk uruskan keluarga dan tidak banyak tekanan daripada bos. Macam kita kerja sendiri,’’ katanya.

Yang paling penting katanya, seorang ‘rider’ tidak boleh memandang remeh kerja yang dipikul mereka sendiri kerana profesion itu juga memerlukan disiplin dan cara kerja yang betul terutama ketika berdepan dengan pelanggan.

“Kita perlu belajar cara berkomunikasi yang baik dengan pelanggan kerana saya sudah jumpa dengan bermacam-macam pelanggan yang kadang-kala kita tidak sangka siapa mereka.

“Ada yang menawarkan pekerjaan tertentu (kerja sampingan), ada yang memberikan tip yang tidak masuk akal malah ada yang langsung tidak mahu berkomunikasi walaupun sudah berkali-kali saya menghantar makanan ke rumahnya.

“Yang penting kekalkan profesionalisme dan orang akan lebih respek kita,’’ katanya bersahaja.

Perbualan saya pada tengah hari itu serba sedikit membuka mata terhadap kerjaya seorang ‘rider’.

Melihat pada perkembangan Covid-19, saya mendoakan supaya perkhidmatan mereka dapat dihargai oleh semua pihak dan semoga pergerakan mereka dipermudah pihak berkuasa.

Yang paling penting, amalkan penjagaan kebersihan diri dan berhati-hati di jalan raya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here