RAUDHAH CITY – Kehadiran pelanggan yang bertali arus sejak semalam sehingga hari ini membuatkan kakitangan di Pasar Raya Raudhah Grocer dalam Malakat Mall tidak menang tangan. 

Pengasas Malakat Mall, Mohd. Fadzil Hashim berkata, semangat mereka tidak luntur walaupun berhadapan pelbagai masalah ketika bertugas.

Menurut beliau, sebelum ini kebanyakan mereka bekerja di organisasi lain yang telah dilengkapi dengan segala keperluan. 

“Semalam selepas tamat waktu kerja, saya berjumpa setiap seorang memohon maaf atas kesulitan dihadapi supaya mereka merasai bahawa kita menghargai pengorbanan dilakukan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

“Kita telah melatih mereka selama dua bulan dan ternyata setiap kakitangan Raudhah Grocer memiliki semangat juang yang sangat tinggi,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Mengenai masalah dihadapi dalam Raudhah Grocer, Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch memberitahu, capaian rangkaian telekomunikasi menghadapi masalah sehingga sukar pelanggan membuat pembayaran menerusi aplikasi yang disediakan.

Tambah beliau, pihaknya akan membuat aduan kepada syarikat-syarikat penyedia rangkaian telekomunikasi termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membolehkan sistem rangkaian di Malakat Mall berfungsi dengan baik.

“Kita membuat aduan itu bukan aniaya mereka tetapi mahu syarikat terbabit menambah baik sistem telekomunikasi di sini supaya aktiviti perniagaan tidak terjejas,” jelasnya.

Selain itu beliau berkata, ada beberapa produk yang dihantar ke pasar raya itu juga tidak memiliki kod bar kerana dihantar pada saat-saat akhir.

“Kita akan memastikan produk yang tiada kod bar akan ditampal dan dimasukkan ke dalam sistem supaya ia tidak menyulitkan pelanggan membelinya,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here