Muhyiddin kini Perdana Menteri yang sah

0
134
Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri kelapan yang sah selepas istiadat angkat sumpah jawatan itu di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Sumpah Simpan Rahsia itu berlangsung di Istana Negara pada pukul 10.34 pagi ini.

Antara yang hadir pada istiadat itu adalah pemimpin parti Perikatan Nasional iaitu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Parlimen Bagan Datoh Datuk Seri Zahid Hamidi dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob.

Turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim disusuli kenderaan rasmi Yang Dipertua Dewan Negara dan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai Perdana Menteri kelapan semalam setelah seminggu kemelut politik melanda negara.

Pelantikan itu selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan selepas genap seminggu kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here