Nafi minta orang ramai jauhi kawasan Pantai dan Bangsar

0
87

CYBERJAYA – Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan bahawa beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan agar orang ramai menjauhi kawasan Pantai dan Bangsar di Kuala Lumpur dalam tempoh 10 hari akan datang kerana jangkitan Covid-19 seperti yang tular menerusi media sosial.

Beliau berkata, laporan sebuah portal berita yang menyatakan bahawa seolah-olah Dr. Noor Hisham yang mengeluarkan nasihat sedemikian adalah tidak tepat.

“Perenggan tidak tepat dalam berita berkenaan telah dimasukkan dalam laporan berita yang memetik kenyataan Dr. Noor Hisham memuji tindakan segera pakar perunding kardiologi Hospital Pantai Kuala Lumpur, Datuk Dr. Sanjiv Joshi, yang secara suka rela menjarakkan dirinya dari hospital, klinik dan keluarganya selama 14 hari.

“Dr. Sanjiv diuji negatif bagi Covid-19, namun beliau terus kuarantin dirinya semasa tempoh inkubasi kerana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

“Dr. Sanjiv merawat kes 29 (wanita berusia 35 tahun yang berkongsi bilik dengan kes 24) yang kemudiannya diuji positif Covid-19. Dr. Sanjiv kemudian sukarela menjarakkan dirinya bagi tempoh 14 hari (daripada orang awam), saya berharap semua kontak rapat beliau akan mencontohi tindakan beliau untuk melakukan apa yang betul,” kata Dr Noor Hisham menerusi catatan Facebook rasminya malam tadi.

Menurut Dr. Noor Hisham, petikan berita tidak tepat itu telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penduduk sekitar dan mereka yang ingin berkunjung ke hospital berkenaan dan kawasan sekitarnya.

Malam tadi, portal berita berkenaan telah membuat pembetulan terhadap berita tersebut serta mengeluarkan notis terhadap kesilapan itu namun, laporan itu telah pun disiarkan lebih awal oleh beberapa organisasi media lain.

Setelah portal berita tersebut menghubungi editor-editor berkenaan, berita itu telah dikeluarkan daripada portal berita masing-masing.- MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here