Olimpik Tokyo 2020 ditangguhkan

0
101

TORONTO – Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) membuat keputusan untuk menangguhkan penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 akibat wabak Covid-19.

Salah seorang ahlinya, Dick Pound berkata: “Berdasarkan maklumat, penangguhan sudah diputuskan oleh OIC.”

Beliau memberitahu Reuters penangguhan selama setahun dilihat sebagai penyelesaian terbaik.

Ini bermakna temasya yang dijadualkan berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini, mungkin diadakan pada musim panas 2021.

Semalam, Australia dan Kanada menarik diri ketika penganjur berdepan tekanan global untuk menangguhkan temasya itu buat julung kali dalam sejarahnya selama 124 tahun.

Jepun dan IOC berkata, membatalkan temasya itu bukan satu pilihan namun mencari tarikh baharu adalah sukar kerana kalender musim panas 2021 sudah penuh.

Pada masa sama, tahun 2022 akan berlangsung Piala Dunia dan Olimpik Musim Sejuk Beijing.

World Athletics semalam berkata, mereka sedia memindahkan kejuaraan dunia 2021 yang dijadualkan pada 6 hingga 15 Ogos di Eugene, Oregon untuk memberi laluan kepada Olimpik 2021.

Penangguhan temasya Olimpik akan memberi tamparan kepada negara penganjur Jepun yang sudah melabur lebih AS$12 bilion, serta menjejaskan sejumlah besar dana untuk penaja dan badan penyiaran.

Lebih 337,000 orang dijangkiti virus Covid-19 di seluruh dunia dengan lebih 14,600 kematian dicatatkan.

IOC dan kerajaan Jepun sebelum ini mengumumkan ia akan membuat keputusan muktamad dalam tempoh sebulan, selepas berminggu mereka bertegas temasya itu akan diteruskan mengikut jadual.

Temasya Olimpik tidak pernah ditangguhkan sebelum ini, tetapi ia pernah dibatalkan pada 1916, 1940 dan 1944 ketika perang dunia ke-2, serta boikot Perang Dingin utama yang menjejaskan Olimpik Moscow dan Los Angeles pada 1980 serta 1984.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here