Olimpik Tokyo 2020 diteruskan

0
58

CYBERJAYA -Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) tidak bercadang untuk melakukan sebarang keputusan drastik berhubung penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Badan induk itu juga tetap komited untuk memastikan temasya berkenaan berlangsung mengikut jadual yang telah ditetapkan biarpun diselubungi penularan jangkitan Covid-19.

IOC dalam satu kenyataannya berkata, perbincangan bersama persekutuan sukan antarabangsa akan diadakan bagi perubahan proses kelayakan susulan impak daripada Covid-19.

Bagaimanapun badan induj itu menegaskan, temasya terbesar dunia itu tetap akan tetap berlangsung mengikut jadual asal bermula 24 Julai hingga 9 Ogos.

“IOC kekal komited terhadap penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berbaki empat bulan lagi sebelum temasya bermula, tidak perlu sebarang keputusan drastik buat masa ini.

“Sebarang spekulasi pada masa ini adalah tidak produktif.

“IOC menggalakkan semua atlet untuk terus melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebaik mungkin,” kata kenyataan itu selepas Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan penangguhan Euro 2020 selama setahun dan akan berlangsung pada 2021.

Menurut laporan Reuters, spekulasi mengenai penganjuran Olimpik Tokyo sebelum ini hangat diperkatakan susulan penularan COVID-19 yang sudah menjangkiti 190,000 orang dan meragut nyawa 7,500 orang di seluruh dunia.

Hampir semua acara sukan di seluruh dunia ditangguhkan sekali gus menjejaskan proses kelayakan Olimpik membabitkan 33 sukan.

Setakat ini, 57 peratus daripada 11,000 atlet sudah pun mengesahkan tempat beraksi pada Olimpik Tokyo 2020.

“Bagi baki 43 peratus tempat lagi, IOC akan bekerjasama dengan persekutuan sukan antarabangsa untuk melakukan perubahan yang diperlukan dan sesuai berhubung proses kelayakan ke Tokyo 2020,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here