Orang ramai mula banjiri balai polis

0
295

CYBERJAYA – Orang ramai mula membanjiri balai polis selepas sekatan keluar antara negeri atau domestik yang akan berkuatkuasa pada tengah malam ini.

Hasil tinjauan mendapati, orang ramai beratur panjang sehingga di luar pintu masuk balai polis sejak pukul 8 malam tadi, rata-rata mereka ingin mengisi borang keluar negeri.

Ada yang mempunyai urusan perniagaan melibatkan perjalanan antara negeri-negeri dan tidak kurang juga yang mahu pulang ke kampung halaman atas urusan keluarga.

Dalam laman sosial, orang ramai juga turut mengongsikan beberapa gambar-gambar situasi semasa di balai polis, antaranya Balai Polis Sungai Besi, Seksyen 16 Shah Alam, Serdang dan Tanjung Malim.

Terdahulu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador dalam sidang akhbarnya berkata, orang perlu memaklumkan kepada balai polis berhampiran dan mendapatkan surat perlepasan sekiranya ada keperluan untuk bergerak dari satu negeri ke negeri lain.

Abdul Hamid berkata, tindakan itu akan dikuatkuasakan serta merta bermula tengah malam ini dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sediakan borang untuk orang ramai isi jika ingin pulang ke kampung.

“Pihak polis sudah bersedia sejak dua minggu lalu untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan yang akan berkuatkuasa esok.

“Antaranya, adalah larangan keluar antara negeri atau domestik yang akan berkuat kuasa malam ini. Orang ramai yang ingin balik kampung perlu maklumkan pergerakan mereka kepada polis.

“Mana-mana individu atau premis yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan boleh dikenakan tindakan.

“Kalau pelanggaran berleluasa dalam tempoh dua minggu ini, PDRM akan mengambil tindakan yang lebih drastik,” katanya.

Mengulas Lanjut, Abdul Hamid berkata, ketika ini, belum sampai tahap untuk mengadakan sekatan jalan raya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here