Padah jual topeng muka melebihi harga siling

0
137


CYBERJAYA – Demi mengaut keuntungan segera sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, seorang peniaga ditahan kerana menjual topeng muka melebihi harga siling yang ditetapkan kerajaan.

Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan pegawai penguat kuasa dari Seksyen Taktikal dan Serbuan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis di Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu di sini, hasil pemeriksaan ke atas premis itu menemukan sejumlah 223,000 unit topeng muka tiga lapis disorok untuk dijual secara tersembunyi kepada pelanggan.

Tambah kenyataan itu, peniaga tersebut didapati menjual kepada pelanggannya pada harga lebih tinggi iaitu RM3.50 seunit melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan iaitu RM2.

“Nilai bagi kesemua topeng muka yang dirampas adalah dianggarkan berjumlah RM446,000.

“Operasi ini dijalankan hasil maklumat diterima daripada orang awam berkaitan penjualan topeng muka melebihi harga maksimum kawalan dalam oleh suspek media sosial.

“Suspek menggunakan laman sosial Facebook untuk mengiklan penjualan topeng muka,” kata kenyataan itu. 

Tambah kenyataan itu, kaedah penjualan adalah pesanan menerusi aplikasi WhatsApp dan barang dihantar melalui pos atau kaedah hantar dahulu bayar kemudian di kawasan Kota Damansara, Petaling Jaya.

Menurut kenyataan itu, suspek ditahan kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKHAP 2011).

“Jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.00 dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM1,000,000.00; atau jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, di denda tidak melebihi  RM100,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagi kesalahan kali yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya,” jelas kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, pengguna disaran menyalurkan maklumat kepada KPDNHEP dengan melaporkan sebarang kegiatan mencurigakan melalui talian hotline 1-800-886-800 atau 03-8882 6088/ 6245 di Enforcement Command Centre (ECC) atau mengemukakan aduan ke  http://e-aduan.kpdnhep.gov.my . – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here