Pakar jantung dihadapkan ke mahkamah kerana cabar pihak berkuasa

0
184
Tangkap layar dari video yang memaparkan seorang individu sedang mencabar pihak berkuasa yang sedang bertugas melaksanakan PKP di Pulau Pinang, baru-baru ini.

CYBERJAYA – Seorang pakar jantung yang mencabar pihak berkuasa yang sedang menguat kuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pulau Pinang, dihadapkan ke Mahkamah Majisteret Georgetown hari ini.

Menurut laporan The Malay Mail, Dr. Ong Hean Theik, 61, berdepan dengan dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menghalang penjawat awam iaitu anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Muhd. Alif Aizad Abd. Latif melakukan tugas di Taman Bandaraya, kira-kira 6 petang 19 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa atas kesalahan keluar dari rumahnya di Jalan Tanjung Bungah ke Taman Bandaraya di Jalan Persiaran Quarry mengikut Seksyen 3(1) Akta Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 7(1) akta sama iaitu denda maksimum RM1,000 dan hukuman penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya.

Hean Theik mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan di hadapan Majistret Jamaliah Abd. Manap.

Mahkamah menetapkan tarikh sebutan kes berkenaan pada 9 Jun nanti.

Minggu lalu, satu video berdurasi empat minit yang memaparkan Hean Theik bertekak dengan anggota penguat kuasa menjadi tular dalam media sosial.

Dalam video berkenaan, dia mempersoalkan larangan jogging oleh anggota penguat kuasa berkenaan dengan memaklumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan perintah berkurung dan lokasi itu adalah jalan awam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here