Pakej PRIHATIN manifestasi kerajaan ambil berat kebajikan rakyat

0
114

CYBERJAYA – Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) merupakan manifestasi kerajaan yang mengambil berat tentang kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang sukar ini.

Menurut beliau, strategi dan langkah yang akan dilaksanakan adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.

“Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana. Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan,” katanya ketika membentangkan Pakej PRIHATIN hari ini.

Tambah beliau, kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang.

“Sepertimana yang telah diumumkan semalam, untuk menzahirkan keprihatinan dan kepedulian pimpinan kerajaan terhadap keperitan rakyat pada masa ini, saya dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri bersetuju agar dua bulan gaji kami semua dipotong dan disalurkan ke dalam Tabung Covid-19.

“Tabung ini akan digunakan untuk membantu saudara-saudari yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan semua kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ia dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus ini,” ujarnya.

Beliau juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit LAKSANA untuk memastikan pakej PRIHATIN bernilai RM250 billion ini sampai kepada rakyat dengan cepat.

Dalam pada itu, Perdana Menteri turut prihatin dengan masyarakat suku kaum di rumah-rumah panjang di Sarawak, penempatan orang asal dan kawasan yang jauh di pedalaman.

Beliau berkata, mereka mungkin bimbang jika bantuan yang disediakan oleh kerajaan lewat tiba.

“Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan Sarawak untuk pastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat,” jelasnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here