Pakej PRIHATIN: NGO alu-alukan bantuan untuk rakyat

0
623

KLANG – Beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengalu-alukan bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bagi orang ramai yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Pengerusi Pertubuhan Dalam Komuniti Bandar Botanik, Datuk Nor Shabudin Monil berkata, peruntukan tersebut sudah pasti dapat meringankan beban masyarakat keluarga miskin, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal di kawasannya.

“Kebanyakan keluarga OKU di bawah kawasan saya tidak berkerja kerana ibu mereka perlu menjaga anak-anak. Bantuan selama ini adalah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan NGO sendiri.

“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula golongan ini terjejas kerana bantuan tiada dan jika ada sukar disampaikan.Dengan adanya peruntukan itu golongan tersebut boleh bernafas lega,” katanya.

Nor Shabudin berkata, beliau berharap peruntukan tersebut diagih dengan segera kepada NGO agar segala sumbangan dapat disalurkan kepada golongan sasaran yang berada dalam kesusahan.

Bagi Pengerusi Pertubuhan 99 Kebajikan Insan (Kesan), Muhd. Ali Zakariah, pihaknya kini menerima pelbagai permintaan daripada orang ramai yang memerlukan bantuan berupa makanan dan susu sejak PKP dilaksanakan.

“Kami sebagai NGO mempunyai peruntukan yang terhad untuk membantu golongan yang memerlukan, sedangkan permintaannya banyak.

“Sebagai NGO Muslim kita bantu semua golongan tidak kira bangsa dan agama. Saya berharap peruntukan RM25 juta di bawah Pakej PRIHATIN disalurkan secara sistematik kepada NGO yang aktif untuk tujuan penyaluran kepada golongan memerlukan,” katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here