Patuhi Perintah Kawalan Pergerakan – Tuanku Syed Faizuddin

0
125

Oleh NURUL FIRDAUS KHAIRI

KANGAR- Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail meminta rakyat negeri itu mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan tanpa sebarang alasan.

Tuanku Syed Faizuddin berkata, rakyat perlu mengambil sikap bertanggungjawab dan ‘bermentaliti kelas pertama dalam tindakan’ dalam mematuhi arahan serta larangan dikeluarkan oleh kerajaan bertujuan mengekang penularan Covid-19.

“Jangan bersifat degil dan ambil mudah kerana sikap ini akan memberikan kesan buruk kepada masyarakat, negeri serta negara.

“Kita tidak mahu kegagalan tempoh dua minggu ini mengakibatkan tempoh itu dilanjutkan dan meningkatkan kes (Covid-19) malah lebih buruk lagi sekiranya arahan ‘perintah berkurung’ terpaksa diambil oleh pihak kerajaan kelak,” kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) hari ini.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua MAIPs berkata,
Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan yang terbaik dan berhemah dalam memastikan arahan dipatuhi.

“Usaha mereka sewajarnya dihargai oleh semua rakyat memandangkan fokus utama pasukan PDRM adalah memastikan ketenteraman dalam negara.

“Tambah dukacita, akibat kedegilan di antara kita semua juga, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terpaksa diatur gerak sedangkan mereka sepatutnya bersiap siaga bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara daripada segala bentuk ancaman dalam dan juga luar,” ujar beliau.

Tuanku Syed Faizuddin berkata, sewajarnya seluruh rakyat memahami keperluan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan itu supaya keadaan negeri dan negara pulih serta bebas daripada penularan wabak Covid-19 secepat mungkin.

“Kita mempunyai pilihan untuk menghentikan penularan wabak ini dengan kaedah Perintah Kawalan Pergerakan,” kata beliau. – MBNews

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here