Pelanggan berdegil mahu masuk pasar raya tanpa diperiksa suhu badan

0
1685
Petugas keselamatan akan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan memeriksa suhu badan pelanggan sebelum dibenarkan masuk ke Malakat Mall

CYBERJAYA – Meskipun kerajaan bertindak mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan dan mengarahkan supaya setiap individu memasuki pasar raya diperiksa suhu badan, masih terdapat segelintir yang berdegil serta enggan mematuhi peraturan ditetapkan.

Dalam satu insiden petang tadi, seorang pelanggan wanita berbangsa asing enggan diperiksa suhu badan ketika mengunjungi Pasar Raya Raudhah Grocer di Malakat Mall di sini.

Menurut petugas keselamatan pasar raya tersebut yang hanya mahu dikenali sebagai Man, wanita tersebut yang datang berseorangan bukan sahaja tidak mahu diperiksa suhu badan malah mempersoalkannya.

“Selepas saya tidak benarkan dia masuk sebab tidak mahu diperiksa suhu badan, wanita berkenaan terus masuk dan mahu bercakap dengan pengurus pasar raya.

“Ketika itu Coach Fadzil (Pengasas Malakat Mall) berada di kaunter Raudhah Grocer dan selepas wanita itu bercakap dengan beliau terus dia keluar dari bangunan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Coach Fadzil atau Mohd. Fadzil Hashim berkata, wanita berasal dari Eropah itu enggan diperiksa suhu badannya dengan mendakwa terdapat kesan radiasi daripada alat pengesan suhu badan.

“Kami tiada pilihan dan terpaksa menghalang dia daripada memasuki pasar raya ini.

“Saya memohon kepada semua supaya polisi keselamatan ini adalah untuk menjaga semua orang,” katanya dalam laman akaunFacebook miliknya.

Sementara itu, dalam status berasingan, Coach Fadzil turut memuat naik sekeping gambar jarak satu meter yang perlu setiap pelanggan berbaris sebelum membuat pembayaran di kaunter Raudhah Grocer.

Kelmarin, kerajaan menguatkuasa peraturan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Namun begitu, orang ramai masih dibenarkan untuk membeli barangan keperluan harian di pasar raya atau kedai runcit dengan dinsihatkan supaya mereka menjarakkan diri antara satu sama lain.-MT

Gambar jarak satu meter yang dipasang di Raudhah Grocer bagi mengelakkan pelanggan berdiri terlalu hampir antara satu sama lain

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here